Anak ahli akademik terkenal, Hawa Rizwana lega bapa izin jadi hos Meletop. Pengacara jelita Hawa Rizwana terharu dan tidak menyangka apabila mendapat restu serta keizinan bapanya untuk menjadi hos tetap program hiburan terkenal, MeleTOP.
Hawa atau nama lengkapnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan berkata, bapanya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman merupakan seorang lelaki yang tegas terutama sekali terhadapnya yang merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga.
“Saya sama sekali tidak menyangka sebenarnya dengan keputusan ayah membenarkan saya mengendalikan program MeleTOP.
“Sebagai anak, saya perlu dapatkan restu daripadanya. Jadi saya tanya pandangan ayah terlebih dahulu.
“Ayah okey ke kalau saya buat program MeleTOP? Ayah kata boleh, ‘go for it’ (pergilah). Itu jawapan yang paling saya tidak sangka daripada ayah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sambil menahan sebak, personaliti berusia 27 tahun itu berkata, sejak kecil lagi, dia dijaga dan dikawal ketat oleh keluarga sehingga perlu memberitahu kegiatan sehariannya dari pagi hingga malam.
“Saya seorang anak perempuan tunggal yang dijaga dengan ketat. Jadi saya betul-betul tidak sangka apabila diberi keizinan untuk mengendalikan sebuah program berbentuk hiburan oleh keluarga.
“Jadi apabila dapat restu daripada ayah, saya berasa sangat-sangat bersyukur,” katanya.
Selepas mengendalikan MeleTOP sebanyak lima episod, Hawa mengakui masih berasa kekok kerana genre program tersebut berbeza berbanding rancangan yang pernah dikendalikannya sebelum ini.
“Saya masih kekok sebenarnya. Selama lima tahun saya mengendalikan program berbentuk serius sebelum beralih ke genre hiburan. Tapi saya belajar banyak daripada orang lain.
“Keluarga dan kawan-kawan pun banyak beri sokongan dan jadi diri sendiri. Saya pun masih lagi ‘bertatih”. Banyak lagi perkara yang saya kena belajar,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Hawa yang ditemui semasa konsert ulang tahun ke-10 MeleTOP di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi juga memberitahu ibu bapanya akan menilai cara kerjanya dan memberikan komen jika ada yang tidak kena pada mata mereka.
“Ayah dan ibu akan lihat hasil kerja saya dan akan memberikan komen jika ada yang tidak kena.
“Adakalanya ayah juga akan beri saya doa untuk saya baca supaya orang faham apa yang saya cakap. Ibu ada beritahu MeleTOP berlainan dengan program hiburan lain kerana tidak membabitkan gosip artis,” ujarnya.
Terdahulu, pada 1 November lalu, teka-teki hos terbaharu MeleTOP terjawab apabila Hawa diperkenalkan sebagai hos tetap program tersebut bersama Nabil Ahmad bagi menggantikan tempat Neelofa.
Sejak pengunduran Neelofa pada Disember 2019, MeleTOP tidak menemui pengacara tetap mengisi kekosongan Neelofa, sebaliknya hanya menampilkan hos jemputan pada setiap minggu.
Antara selebriti yang pernah digandingkan bersama Nabil sebelum ini ialah Uyaina Arshad, Elly Mazlein dan Sherry Alhadad.
BACA:
Baru je buka, Genting Skyworlds dah naikkan harga tiket kepada RM170