Adly dan penanda aras yang tinggi dalam pencapaian pentadbiran

Apabila tibanya hari Khamis, YB Adly Zahari, Mantan Ketua Menteri Melaka akan meluangkan masa untuk turun padang melawat kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Sepanjang tahun 2019, beliau telah berjaya turun ke semua 28 DUN di Melaka. Ia merupakan antara sasaran dan penanda aras yang diletak oleh beliau sebagai Ketua Menteri Melaka untuk turun ke semua DUN dalam masa setahun.

Antara tujuan Lawatan Kerja Ketua Menteri ke kawasan DUN ini diadakan adalah untuk berjumpa rakyat di bawah, mengenal pasti masalah mereka secara mendalam, melawat kawasan yang bermasalah atau berpotensi dibangunkan dan membantu usahawan Industri Kecil & Sederhana serta para petani.

Saya pasti akan rindu pengalaman menjadi Pegawai Bertugas YB Adly Zahari dalam menguruskan perjalanan beliau sepanjang Lawatan DUN di kawasan Parlimen Tangga Batu (2019) dan Parlimen Alor Gajah (2020). Ini merupakan antara tugas utama yang saya tidak boleh lupakan sepanjang perkhidmatan 22 bulan di Pejabat Ketua Menteri.

Gambar-gambar dibawah merupakan Lawatan DUN terakhir mantan YAB Ketua Menteri di DUN Kesidang bersama YB Allex Seah pada 27 Februari 2020. Walaupun ketika itu rakan sejawat saya Saudara Tan Boon Siang merupakan Pegawai Bertugas tetapi kami tetap akan turun bersama bantu di semua DUN.

Saya pasti semuanya tidak akan berakhir di sini. Saya juga yakin jika peluang dan ruang ada pada masa akan datang maka kita akan kembali untuk membuat lebih baik daripada apa yang dilakukan sebelum ini. Mereka yang berkuasa diingatkan jangan leka dengan jawatan.

Prasanth Kumar Brakasam
Mantan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Kepada YAB Ketua Menteri Melaka yang ke-11

Sumber :