Afif usahlah bersandiwara untuk tagih simpati penyokong

Afif usahlah bersandiwara untuk tagih simpati penyokong

Pada 28 Mei 2020, kita sedia maklum bahawa Dr. Afif Bahardin, ADUN Seberang Jaya salah seorang daripada tiga orang Adun “Gunting Dalam Lipatan” dikenakan tindakan pergantungan keahlian oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semua hak dan kelayakannya sebagai Adun Kerajaan Negeri Pulau Pinang digantung serta merta sehingga keputusan muktamad dibuat oleh Pimpinan PKR.

Pada kenyataan media ADUN Seberang Jaya hari ini, beliau telah memanipulasi kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah menyingkirkannya dari blok kerajaan Pakatan Harapan dan mengisytiharkannya sebagai Adun Pembangkang.

Sebagai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU 2013 & 2018) atas tiket politik Keadilan dan berpengelaman lebih dari satu pengggal Afif Bahardin seharusnya tidak menyebelahi dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan ini bukan sahaja tidak demokratik malah mengkhianati amanat parti. Namun pengkhianatan bagi Afif Bahardin hanya rutin sandiwara politik beliau. Kenyataan medianya hari ini merupakan helah kesekian kali beliau untuk mengalih perhatian para penyokong dan simpatisannya dengan mengelirukan mereka.

Sudah tentu Afif Bahardin tahu bahawa majoriti pengundi membuat pilihan atas dasar parti bukan individu sehinggakan beliau dapat menang dan mengekalkan Dun Seberang Jaya dengan menggunakan logo Keadilan. DUN Seberang Jaya juga merupakan DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Keadilan bermula dari Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Berikut merupakan beberapa faktor yang dipercayai menyebabkan keahliannya digantung:

Terpalit dengan dakwaan melakukan aktiviti sabotaj/rusuhan pada Kongres Nasional AMK 2019
Didakwa terbabit dalam “Langkah Sheraton” dan merupakan salah seorang dalang bersama Azmin Ali dan Hilman Idham yang akhirnya menyebabkan pertukaran kerajaan persekutuan PH.

Afif Bahardin menerajui NGO Pemuda Negara juga Penggerak Muafakat Nasional (Penggerak ZK – Zuraida Kamarudin) yang dilarang oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk anggota terlibat secara langsung dan tidak langsung. Kedua-dua NGO ini bergerak atas nama organisasi, bersembunyi di balik nama gerakan kebajikan berkesinambungan melaksanakan gerakerja
untuk menggagalkan kerajaan PH diperingkat pusat dan negeri.

Kita semua sedia maklum bahawa NGO Pemuda Negara yang dipimpin oleh Afif Bahardin dengan jelas menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Pintu Belakang Perikatan Nasional.

Afif Bahardin paling tidak layak untuk menggunakan perkataan “istiqamah” dan “memenuhi amanah”. Umum rakyat negara ini sendiri telah menyaksikan corak politik beliau yang cenderong menjerumus kepada korupsi, politik wang, dan ‘tikam belakang’ .

Jika beliau “istiqamah” dalam berkhidmat, beliau sepatutnya bersama-sama menjunjung Keadilan sebagai institusi kepartian yang beliau sertai walaupun dalam keadaan yang sukar. Namun beliau lebih suka untuk berada dalam ‘kluster kayangan’ yang merosakkan parti dan membelakangkan dasar kerajaan negeri.

Wahai Afif Bahardin, berhentilah dengan sandiwara politik murahan anda. Rakyat melihat sendiri gelagat politik yang anda bawa. Maklumat berkaitan sandiwara politik anda semua di hujung jari, akses kepada kronologi dan siri-siri politik khianat, putar belit, dan gerakan sabotaj parti terang – terangan menggambarkan keperibadian anda. Semakin hari semakin jelek pada pandangan rakyat. Rakyat akan menghukum anda tidak lama lagi.

Fahmi Zainol
Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang

Sumber: