Aku, vaksin dan teori konspirasi

Aku, vaksin dan teori konspirasi

Sebenarnya aku adalah di antara 3,000 sukarelawan untuk kajian klinikal vaksin COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Kajian ini adalah untuk menguji vaksin SARS-CoV-2 menggunakan platform vaksin tidak aktif seperti platform yang digunakan oleh Sinopharm (China), CoronaVac dari Sinovac (China) dan Covaxin dari Bharat Biotech (India).

Aku dah mendaftar seawal 14 Januari dan dipanggil untuk menyertai sesi taklimat pada 1 Februari. Dalam taklimat tu aku diberitahu ujian klinikal ni bersifat rawak atau ‘double blinded’ di mana dalam kalangan 3,000 sukarelawan ni, hanya separuh sahaja yang akan menerima vaksin SARS-CoV-2, manakala separuh lagi adalah kumpulan kawalan yang diberi larutan garam yang diberi nama plasebo.

Kemudian dalam tempoh 13 bulan punyalah banyak peraturan dan ‘pantang larang’ yang wajib dipatuhi oleh sukarelawan. Antaranya adalah tak boleh menderma darah (yang aku konsisten buat tiga bulan sekali sejak 2019), dilarang mengandung atau mengandungkan orang, buat pembedahan kosmetik, bekam, ambil suntikan vaksin lain dan banyak lagi.

Tiada paksaan untuk mana-mana individu untuk teruskan, mereka yang dah mendaftar boleh tarik diri kerana ujian klinikal ini memerlukan sukarelawan menghadiri 6 lawatan ke makmal dan hospital. Aku yang dah bersetuju dan menepati segala kriteria kemudian diminta untuk menghadiri lawatan pertama pada 8 Februari di BP Healthcare, Cheras iaitu dengan menjalani proses saringan kesihatan. Buat ujian darah dan ujian calitan (swab test).

Selepas disahkan bebas dari sebarang penyakit seperti HIV dan COVID-19, aku diminta hadir lawatan kedua di Hospital Ampang pada 10 Februari untuk terima dos pertama dan terserempak dengan Pak Pen Firdaus yang rupanya satu kumpulan dengan aku.

Sebelum suntikan pertama, sesi taklimat sekali lagi dijalankan. Kemudian pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan suhu, timbangan berat, ukuran tinggi dan seterusnya ditemuduga oleh doktor bertugas mengenai setiap perincian ujian klinikal ini sebelum menandatangani Borang Persetujuan Termaklum di hadapannya.

Kira² 25 minit selepas suntikan pertama, sukarelawan perlu memeriksa suhu, perhatikan jika ada sebarang kesan sampingan pada tempat suntikan dan tubuh badan, kemudian catatkan pada kad diari yang perlu diisi setiap hari selama seminggu. Tiada sebarang kesan yang aku alami dan dibenarkan pulang.

Lawatan ketiga adalah pada 17 Februari, juga di Hospital Ampang. Datang untuk untuk menyerahkan kad diari, periksa suhu dan bersambung dengan tugasan pengisian kad penghubung. Sepanjang seminggu selepas suntikan dos pertama, tiada apa-apa perubahan pada aku. Masih kacak sepeti biasa. Kahkahkah

24 Februari ini adalah lawatan keempat untuk pengambilan dos kedua, semoga aku kekal sihat untuk lawatan kelima (3 Mac), keenam (24 Mac) sehinggalah tamat ujian klinikal pada 13 bulan akan datang.

Aku tak boleh mendabik dada kata aku dah divaksin atau vaksin ni tiada sebarang kesan sampingan kepada badan aku sebab aku sendiri pun tak tahu 2 dos yang masuk dalam badan ni vaksin SARS-CoV-2 atau pun cuma plasebo.

Tapi kenapa aku meneruskan hasrat dan bersetuju menjadi sukarelawan?

Pertama adalah untuk memberi pendidikan kepada rakyat Malaysia bahawa vaksin itu sifatnya tetaplah vaksin. Ia adalah program imunisasi dan salah satu kaedah untuk mencegah penyakit berjangkit yang kita dah lalui daripada kecik. Berapa banyak suntikan yang kita dah terima secara PERCUMA dari pihak kerajaan, tak ada pulak jadi benda pelik². Jadi tak ada sebab bila aku dah besar panjang tiba-tiba nak tergolong dalam kumpulan anti-vaksin yang percaya dengan segala teori konspirasi.

Kedua, besar harapan aku agar vaksin ini dapat mengembalikan kehidupan normal kita semua. Dapat lihat anak² kita bersekolah seperti biasa, tiada lagi keluarga dan kawan-kawan kita yang hilang pekerjaan, tutup perniagaan dan sebagainya. Semoga dunia dapat pulih daripada wabak ini dan semua orang dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bagi yang akan terima vaksin Pfizer, SinoVac dan lain-lain, semoga anda kekal sihat dan diharapkan kita dapat membuktikan segala teori konspirasi itu sampah semata-mata.

Sumber: