Amat wajar Umno rasa dilayan tidak adil – Penganalisis

Amat wajar Umno rasa dilayan tidak adil – Penganalisis

Seorang penganalisis politik berkata Umno berhak berasa diremehkan berdasarkan cara mereka dilayan oleh PPBM kerana parti itu menerima “perjanjian mentah” atas pengorbanan yang dibuat dalam pembentukan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, Umno berkorban ketika membuat keputusan untuk menyokong Muhyiddin dan PPBM, yang merupakan bekas pesaing politik mereka.

“Tetapi apa yang berlaku ialah ahli Parlimen Umno mendapat perjanjian mentah dari segi jawatan Kabinet berbanding PPBM. Inilah inti pati rasa tidak puas hati Umno,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa bahawa ahli Umno perlu bersikap realistik dan berhenti membuat tuntutan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah, juga berkata, strategi dan kerjasama politik parti itu tidak menguntungkannya.

Azmi berkata, pendirian Annuar dilihat bertentangan dengan pemimpin tertinggi dan akar umbi Umno lain yang percaya layanan PPBM terhadap Umno merugikan parti itu dalam jangka panjang.

Felo kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, kenyataan Annuar mencerminkan perpecahan dalam Umno dengan 1 kem menyokong Muhyiddin dan 1 lagi menentangnya dan PPBM.

“Pandangan Annuar tidak menggambarkan pandangan presiden dan pemimpin tertinggi Umno dan ini menggambarkan parti itu berpecah dan lemah.”

Jeniri percaya tidak salah pemimpin Umno mahukan layanan lebih baik, walaupun Annuar tepat dalam mempersoalkan kenapa baru sekarang mereka bersuara.

“Mereka seharusnya berjuang lebih keras ketika kerajaan baru dibentuk, mereka sepatutnya menuntut jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/22/wajar-umno-rasa-dilayan-tidak-adil-kata-penganalisis/

COMMENTS