Azmin puji keterbukaan Muhyiddin tubuh Majlis Presiden k’jaan PN

Azmin puji keterbukaan Muhyiddin tubuh Majlis Presiden k’jaan PN

Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan berbanding kepentingan kepartian.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui Majlis Presiden Kerajaan PN, semua pihak dapat menyumbang idea khususnya bagi memperkukuh ekonomi negara dan menangani penularan Covid-19.

“Pandangan dan idea baharu amat diperlukan kerana Belanjawan 2021 yang dibentang dan diluluskan bukan untuk kerajaan, sebaliknya untuk rakyat.

“Baru-baru ini juga telah diadakan mesyuarat pertama (Majlis Presiden Kerajaan PN) dan ia disambut baik oleh ketua parti kerajaan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kemasyarakatan Parlimen Gombak di Dewan Persatuan Penduduk AU5D Lembah Keramat di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha menerusi kerjasama di antara semua parti dalam kerajaan PN akan diteruskan demi memperkukuhkan lagi perpaduan sedia ada.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketua parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN bagi membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115541/BERITA/Politik/Tubuh-Majlis-Presiden-Kerajaan-PN-bukti-keterbukaan-Muhyiddin