Bukan tunai, tapi macamana nak kekalkan pekerjaan – Wong Chen

Bukan tunai, tapi macamana nak kekalkan pekerjaan – Wong Chen

Pakej ransangan ekonomi kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak akan menyelesaikan isu besar ekonomi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan.

Ekonomi Malaysia tidak akan kembali kepada keadaan sediakala selepas PKP dan kemungkinan beberapa sektor mula membuang pekerja. Jika tidak bernasib baik maka negara akan terjerumus ke kancah kemelesetan.

Menurut Ahli parlimen Subang, Wong Chen, polisi kerajaan PN kurang tepat apabila meluluskan pemberian tunai besar-besaran kepada rakyat berbanding berusaha mengekalkan pekerjaan.

Menurutnya, langkah kerajaan itu seolah-olah hanya mahu mendamaikan penentangan rakyat berikutan PN merupakan kerajaan yang tidak popular sejak 1 Mac lalu.

“Saya menekankan berulang kali bahawa kita perlu melindungi pekerjaan tetapi seperti yang dijangkakan, ahli politik lebih suka menyediakan pemberian tunai.

“Dalam istilah makroekonomi, keselamatan pekerjaan jauh lebih penting daripada pemberian tunai,” kata Wong di akaun Facebooknya.

Beliau tidak menolak suntikan terus dana RM25 bilion untuk tempoh 2 hingga 3 bulan sebagai tindakan yang baik.

Namun begitu, Wong mencadangkan Kementerian Kewangan mengkaji semula pakej suntikan tersebut dan mengutamakan jaminan pekerjaan berbanding pemberian tunai pada nisbah 2:1. Sebagaimana diamalkan banyak negara maju yang menghadapi kerosakan ekonomi serupa.

“Subsidi upah yang ditawarkan hanya RM600 sebulan. Pada pandangan saya ini tidak mencukupi. Pendapatan benar (purata) rakyat Malaysia mungkin serendah RM3,087. RM600 itu mewakili 20% daripadanya.

“Ia juga terhad kepada mereka yang memperoleh RM4,000 dan ke bawah, mewakili 3.3 juta daripada jumlah 15.3 juta pekerja atau kira-kira 21% daripada tenaga kerja. Dasar ini terlalu sedikit dan sempit untuk memberi impak ekonomi positif yang kuat. Saya juga takut kebanyakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan perniagaan mungkin hanya mampu bertahan tidak melebihi 3 bulan.

“Di Denmark, sokongan upah sekitar 75%. Di Belanda sehingga 90%. Sokongan gaji Singapura sekitar 25% hingga 75% bergantung kepada tahap pendapatan dan sektor.

“Seperti Malaysia, Singapura juga melancarkan gabungan pembayaran kebajikan (pemberian tunai) dan subsidi upah. Tetapi komponen kebajikan ialah SD$ 4.66 bilion berbanding subsidi upah sebanyak SD$ 15.1 bilion. Dalam erti kata lain, subsidi gaji Singapura 3.2 kali ganda lebih besar daripada komponen kebajikan. Di Malaysia, kita ke arah bertentangan, memperuntukkan RM12 bilion atas pemberian tunai dan RM6 bilion untuk sokongan upah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar nisbah pemberian tunai dan subsidi gaji diperbaiki agar situasi selepas berakhirnya wabak Covid 19 tidak membentuk pula kekacauan ekonomi akibat pembuangan pekerja.

“Seperti yang saya katakan, saya menghargai suntikan RM25 bilion tetapi saya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula nisbah komponen kebajikan dan subsidi upah. Cadangan terakhir saya kepada kerajaan ialah mengekalkan dasar fleksibel dan banyak bercakap dengan IKS,” katanya lagi.

 

sumber : http://suarapakatandaily.com/archives/26891