Buku Tommy Thomas : Satu penulisan balas dendam dan tidak beretika

Buku Tommy Thomas : Satu penulisan balas dendam dan tidak beretika

Buku tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas, ‘Justice in the wilderness’ disifatkan sebuah nukilan ‘balas dendam’ dan tidak beretika yang mencemarkan institusi kehakiman di negara ini.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, buku tersebut tidak layak diangkat sebagai penulisan ilmiah dari aspek perundangan malah kedangkalannya terserlah apabila kandungannya dikatakan turut mensasarkan kemarahan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru pada hemat saya, penerbit dan penulis buku tersebut yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah perlu segera disiasat dan seterusnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan telah menerima lebih 150 laporan polis berhubung buku itu. Berdasarkan kecaman dan laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak, maka saya berharap pihak berkuasa mengharamkan buku tersebut kerana kesan penulisan itu boleh menjatuhkan integriti dan maruah serta institusi perundangan negara selain pegawai undang-undang sendiri.

“Tindakan Tommy yang didakwa membuat rujukan dan komen mengenai pelbagai isu negara sepanjang memegang jawatan itu dalam bukunya, disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu Syed Ali juga khuatir, penulisan, penerbitan dan penyebaran buku tersebut akan menyebabkan masyarakat antarabangsa hilang rasa hormat terhadap Jabatan Peguam Negara khususnya sistem penghakiman serta perundangan negara.

Jelasnya, kesilapan perlantikan Tommy sebagai Peguam Negara dibuat oleh Dr Mahathir pada tahun 2018 sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14).

Sebelum ini, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, Dr Mahathir hendaklah berhenti membuat kenyataan seolah-olah cuba mempertahankan dirinya sendiri berhubung sebarang isu melibatkan pelantikan Tommy.

Jelasnya, kesilapan jelas dilakukan bekas Perdana Menteri itu dalam pelantikan Peguam Negara yang sepatutnya diperuntukkan kepada individu Melayu.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kekesalannya melantik Tommy sebagai Peguam Negara, individu yang telah mengkritik beliau dalam memoirnya.

Seandainya diberi peluang untuk mengundurkan waktu, Dr Mahathir berkata, beliau tentu sekali tidak akan memilih Tommy, sebaliknya, melantik individu lain untuk mengisi jawatan berkenaan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/buku-tommy-thomas-satu-nukilan-balas-dendam-syed-ali-282052