Coretan anak muda : Segalanya berubah bila celupan Umno menguasai Bersatu

Coretan anak muda : Segalanya berubah bila celupan Umno menguasai Bersatu

Perjalanan Politik Anak Muda & Penyediaan Alternatif Baru

Semenjak semalam, saya kira ramai juga menghantar mesej melalui whatsapp dan media sosial lain bertanyakan kenyataan terbaru ahli Parlimen Muar, YB Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (SS) yang dikeluarkan petang semalam.

Saya yang sedang dalam satu mesyuarat politik, membuka FB dan membaca tulisan Saudara SS sebelum memaklumkan kepada sahabat saya, Saudara Ulya Husamudin yang berada di sebelah kanan saya dalam bilik mesyuarat tersebut. Wajahnya sedikit berubah dan mungkin ada tanda tanya. Sebelum itu, MP Muar itu ada menghubungi Ulya untuk bertemu dan akan disertai saya serta rakan-rakan pada ‪jam 10‬ malam.

Pertemuan malam semalam menimbang dan mendengar penjelasan YB SS dan rakan-rakan yang mungkin punyai ‘ijtihad’ berbeza atas berbagai alasan.

Untuk rekod, saya bukanlah individu yang bersama dengan ‘core team’ YB SS semenjak dari awal apatah lagi ketika semua dalam BERSATU bersedia menghadapi pemilihan parti kali pertama.

Saya boleh dikatakan pengkritik tegar kumpulan pengurusan SS semasa dalam ARMADA dan sebelum berlakunya Langkah Sheraton. Kerana itulah saya bersetuju untuk bergerak dan seterusnya dicalonkan sebagai Naib Ketua ARMADA Nasional (bukan Se-Malaysia) untuk pemilihan dengan digandingkan dengan Saudara Muzzammil Ismail.

Sehingga hari ini, saya kekal berpegang bahawa kekurangan dalam pengurusan pentadbiran ARMADA sememangnya ada dan ia perlu diperbaiki. YB SS juga akui apa yang saya katakan dan bertekad memperbaikinya sekiranya semua keserabutan ini dapat diatasi dengan mengambil alih kerajaan.

Langkah Sheraton dan sokongan kumpulan pendesak dan melawan arus status-quo ARMADA kepada pengkhianatan telah merubah pendekatan saya untuk tidak melawan YB SS dalam ARMADAapabila beliau memilih kekal berprinsip dan tidak mengikut TSMY.

Bukan bersetuju dan menerima segala kesalahan/kekurangan yang telah berlaku. Tetapi berkompromi isu prinsip dan janji sehingga tergamak bermukah dengan para penyangak serta merendah-rendahkan pengasas utama parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hanya kerana Tun tidak mahu berkompromi dengan rancangan mereka; tidak dapat saya terima.

Saya merubah pijak kaki saya dalam pertarungan dalaman parti selepas dari itu.

Usaha mengambil alih semula kerajaan berjalan dengan begitu dinamik, mencabar, mendebarkan dan banyak keadaan menguji kesabaran. Atas dasar masih berunding dengan rakan-rakan, banyak yang disimpan dan dipendam kerana kita tidak mudah mendapat segala yang dimahukan.

Saya tahu dan percaya, urusan pengambilalihan kerajaan sedang masih giat dilakukan dengan berbagai kaedah dan opsyen. Ada yang bersungguh, ada yang tersepit dengan ugutan dan ada yang punyai agenda tersendiri. Saya tetap optimis bahawa inshaAllah ia akan mampu dimuktamadkan secepatnya sungguhpun sudah melangkaui lebih 3 bulan.

Setelah BERSATU diambil alih oleh pemain politik bekas UMNO yang agresif seperti Hamzah Zainuddin, BERSATU menjadi wataknya yang hampir tiada beza dengan UMNO sebelum PRU-14 walaupun disebabkan watak seperti itulah BERSATU ditubuhkan.

Penyalahgunaan kuasa melalui penafsiran peruntukan perlembagaan parti secara sembrono, sepihak dan dangkal, menjadikan BERSATU menjadi lebih tenat. ‘Didikan’ Tun untuk menolak ‘cash is king’ dalam parti yang diasaskan sendiri oleh tangan beliau telah diratah dengan prinsip ‘cash is king’ juga. Setangkas mana pun Tun sebagai pemimpin politik dan PM paling lama di Malaysia, beliau juga pada satu sudut gagal meramal keadaan ini dan tidak dapat membendungnya. Minda sebahagian orang Melayu-Islam yang mudah dimanipulasi telah menggagalkan gagasan yang dibawa Tun ketika menubuhkan BERSATU.

‘Curhat’ (curahan hati) YB SS semalam adalah mungkin kemuncak kekecewaannya atas segala tindakan untuk mematikan penyambung hayat politik beliau dan kawan-kawan dalam BERSATU. Bukan sahaja tekanan keatas diri beliau dan keluarga, bahkan rakan-rakan yang punyai ‘titik pulas’ yang memeritkan sehingga ada yang ‘terpaksa’ membuat pusingan U atau menyerah diri.

Ada juga yang mungkin mahu berjuang dari dalam. Katanya; itu mampu mengekalkan ‘harapan’ perubahan sekiranya masih ada.

Cuma, saya terfikir, dengan tindakan senekad merompak BERSATU dan menjadikannya lebih keji dari UMNO sebelum PRU-14, adakah mereka begitu naif memikirkan bahawa pihak sebelah sana akan memberikan laluan mudah kepada ‘anasir BERSATU blackout’ atau membenarkan mereka membentuk majoriti menguasai kembali BERSATU? Setakat ini (mungkin jua salah), itu tidak mungkin berlaku pda hemat saya. Malah, tidak mustahil BERSATU dilelong jual kepada UMNO.

Anak muda secara relatif lebih lama dan jauh perjalanan hidup dan hayat politik. Tun Dr. Mahathir Mohammad yang selalu diangkat sebagai ikon dan negarawan ulung dalam BERSATU itu pun tidak punyai semata-mata sejarah putih berorganisasi parti. Semenjak tahun 1969, sejarah ‘gelap’ pemecatan sebagai ahli parti telah berlaku keatas Tun khususnya selepas pengedaran surat Tun mengkritik gaya pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Hasilnya, pada bulan Julai 1969, Tun digugurkan sebagai ahli MT UMNO dan dipecat sebagai ahli pada bulan September.

Semalam, Saudara Ulya dan Rafiq masing-masing ‘dirombak’ bagi jawatan Ketua Penerangan dan Penolong Bendahari ARMADA. Sungguhpun asalnya terdapat empat nama yang ‘diwahyukan’ untuk digugurkan termasuk nama saya dan sahabat exco lain, Saudara Muhamad Bazli, setakat ini hanya dua nama sahaja rasmi ‘dipecat’ dari jawatan.

Saya tiada masalah dan bahkan gembira sekiranya itulah bayaran untuk terus kekal mempertahankan prinsip serta tidak tunduk menyerah diri pada kumpulan pengkhianat. Saya berdoa pada Allah SWT untuk terus direzekikan kekuatan kekal berprinsip dan tidak goyang mempertahankannya. Tiada siapa boleh mendabik dada melainkan selepas mereka diuji dengan tawaran dan ancaman. Semoga ramai lagi anak muda ARMADA juga terus kekal berprinsip dan mampu memeliharanya terutama yang ‘TIDAK CARI MAKAN’ dengan politik.

Dengan segala kekurangan dan kelemahan yang ramai perbincangkan terhadap sahabat saya, Saudara Syed Saddiq; selama mana gambaran besar perjuangan itu untuk memperkasa anak muda dan menjadikan negara ini sebagai rumah besar yang lebih baik untuk anak muda Malaysia, saya akan bersama membantu beliau, memberikan nasihat dan kritikan membina sama ada dengan lembut mahupun tegas.

Dengan latarbelakang yang dimiliki, saya inshaAllah akan kekal mendokong perjuangan itu dikelek bersama asas murni Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pegangan hidup mati Muslim/Mukmin serta asas-asas pembinaan Malaysia sebagai negara bangsa yang menjamin keadilan sosial dan kebebasan bermoral. Apapun wadah dan pentas digunakan, prinsip perlu terus dijunjung.

Namun, inilah masanya, anak muda merentas parti politik TERMASUK yang bukan partisan, maju kehadapan mengambil peduli seketika urusan politik kenegaraan. Anak muda perlu bangkit dan bertegas agar pengurusan, kepimpinan Malaysia tidak lagi berlegar dikalangan dinasaur-dinasaur politik yang punyai 1001 beban negatif politik, moral dan pentadbiran. Tanpa mengkhususkan nama, mereka semua yang telah begitu lama dilapangan politik dan membentuk kumpulan dengan gaya pemikiran yang serupa sehingga wajah dan idea baru politik anak muda terbunuh dan tiada ruang, perlu berundur dengan terhormat.

Ia memerlukan tekad dan keberanian. Ia tidak boleh diletakkan dibahu 10-20 anak muda dan yang lain hanya menumpang tuah (sekiranya berjaya) atau menambah maki (ketika gagal). Ia kerja berpasukan dan kolektif.

Tiada siapa yang mahu merubah kebiasaan yang selesa dan mudah. Namun, fitrah kehidupan adalah perjalanan berliku dan menawarkan pilihan beribu.

Terus berusaha, tambahkan kerja yang bermanfaat, bulatkan tekad dan kepada Allah SWT kita berserah.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur

Sumber :