Dalam tempoh 3 hari, Pusat Khidmat Rakyat ahli parlimen Dap terima hampir RM200 ribu sumbangan

Dalam tempoh 3 hari, Pusat Khidmat Rakyat ahli parlimen Dap terima hampir RM200 ribu sumbangan

Pusat Khidmat Rakyat Hannah Yeoh memperoleh kutipan sumbangan sebanyak RM192,155.15 dalam tempoh kurang tiga hari selepas Ahli Parlimen Segambut itu menyuarakan luahan tidak menerima peruntukan yang sebelum ini disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada setiap ahli Parlimen.

Hannah Yeoh memaklumkan sumbangan itu diterima daripada 1,386 individu yang memberi maklum balas terhadap kenyataan dimuat naik di Facebook miliiknya pada Khamis.

“Dalam masa kurang tiga hari, seramai 1,386 penyumbang memberi respon terhadap kenyataan saya mengenai isu peruntukan.

“Saya berterima kasih apabila sumbangan datang daripada 1,386 rakyat. Ini bermakna kita tidak bergantung kepada satu individu, korporat atau sumber seperti kerajaan tetapi kita terhutang hanya kepada rakyat. Ini menjadikan kita efektif dan berani bersuara untuk rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas Langkah Sheraton, beliau tidak lagi menerima peruntukan sebanyak RM300,000 setahun untuk kos operasi pusat khidmat termasuk gaji kakitangan, sewa pejabat, pembayaran bil utiliti dan perbelanjaan lain.

“Semua ini tidak lagi kami peroleh bermula Januari lalu. Saya tidak mampu untuk menyanyi atau menari atau membotakkan kepala untuk mengumpul dana tetapi saya bekerja keras untuk penduduk di Segambut dan saya komited untuk bersuara mewakili anda.

“Cabaran terbesar sekarang ialah untuk mengekalkan pasukan saya (Team Segambut) sepanjang tahun ini (RM300,000) supaya kami boleh terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Khamis lalu, seramai 32 ahli Parlimen pembangkang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencontohi kerajaan negeri PN di Johor dan Perak dalam memberikan peruntukan yang sama atau lebih besar kepada wakil rakyat pembangkang.

Hannah Yeoh turut memberitahu beliau tidak menerima walau satu sen pun peruntukan pada tahun ini.

Luahan itu dibuat selepas Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu jumlah peruntukan diterimanya iaitu sebanyak RM100,000 sama seperti yang diterima ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, Hannah Yeoh memaklumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk memperuntukkan RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang selepas tuntutan itu dibuat.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122828/BERITA/Politik/Terima-RM19215515-dalam-tempoh-kurang-tiga-hari