Dr Kamarul masih tak mengaku kalah, ada 20 kes saman lagi menunggu

Dr Kamarul masih tak mengaku kalah, ada 20 kes saman lagi menunggu

Pada 28 Julai 2020, saya telah memfailkan saman fitnah terhadap 10 pemimpin atau aktivis DAP, 10 pemimpin atau aktivis PAN, termasuk Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof Rawa, dan dua portal berita, iaitu MalaysiaDateLine dan MalaysiaKini.

Pada 10 Februari 2021, mahkamah telah menolak permohonan seorang pemimpin atau aktivis PAN, iaitu Hussin Bin Jan, untuk membatalkan saman saya di mana hakim mengarahkan beliau membayar kos RM3 ribu kepada saya.

Hari ini pula, mahkamah telah menerima permohonan seorang pemimpin atau aktivis PAN, iaitu Datuk Seri Dr Mujahid, untuk membatalkan saman saya di mana hakim mengarahkan saya membayar kos RM5 ribu kepada beliau.

Saman ke atas Datuk Seri Dr Mujahid dibuat setelah saya memastikan dengan peguam di dalam kes terdahulu saya dengan beliau bahawa tiada sebarang penghakiman persetujuan (consent judgment) yang menghalang saya daripada berbuat demikian.

Begitupun, tanpa kami sedari, pihak peguam Datuk Seri Dr Mujahid telah berjaya mendapatkan penghakiman persetujuan (consent judgment) ini daripada pihak mahkamah setelah saman terbaru saya ke atas beliau difailkan, iaitu pada 2 Oktober 2020.

Walaupun saman saya ke atas Datuk Seri Dr Mujahid berdasarkan satu artikel beliau tidak lagi boleh dibuat ekoran kewujudan penghakiman persetujuan (consent judgment) ini artikel beliau ini masih menjadi bahan saman saya kepada Malaysia Date Line.

Selain artikel Datuk Seri Dr Mujahid, saman saya kepada Malaysia Date Line adalah didasarkan kepada 5 artikel lain, iaitu artikel-artikel Lim Kit Siang, Khalid Bin Abdul Samad, Wan Anwar Bin Wan Ibrahim, Siti Fatihah Binti Salahuddin dan Hussin Bin Jan.

Oleh itu, kebenaran sama ada artikel Datuk Seri Dr Mujahid itu benar-benar memfitnah saya ataupun tidak, yang tidak dapat dibicarakan di dalam kes beliau, masih lagi belum teruji dan masih akan dapat diputuskan di dalam kes Malaysia Date Line.

Saya menerima keputusan di dalam kes Datuk Seri Dr Mujahid ini sebagai sebahagian daripada asam-garam di dalam kes saman-menyaman seperti ini dan saya tetap yakin akan menang di dalam sebahagian besar daripada 21 saman saya yang lain.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/17/kes-saman-fitnah-saya-belum-kalah-dr-kamarul/