Fokus musuh utama, usah cipta musuh baru – Mujahid

Fokus musuh utama, usah cipta musuh baru – Mujahid

Mandat rakyat pada PRU ke 14 adalah hasrat mahukan perubahan dan selama 22 bulan Pakatan Harapan berhempas pulas melaksanakan perubahan dengan realiti yang ada. Saya menulis sebagai Ahli Parlimen antara 222 ahli dari P057, Parit Buntar yang memenangi PRU yang lalu atas tiket Pakatan Harapan.

Kita berbangga kekuatan PH ialah kombinasi jiwa besar DSAI dan rakan-rakan bersama keazaman politik Tun M mahu menjatuhkankan kleptokrasi regim BN. Kita berbangga adanya kesatuan dan persetujuan pembahagian kerusi, penggunaan satu lambang dan calon PM.

Semua formula kemenangan telah terhidang untuk PH dan terbukti ia mengukir kejayaan dengan terbentuknya kerajaan PH yang jelas halatujunya.

Kesatuan ini dirobohkan oleh pengkhianat dari dalaman kita, mengorek asas yang cuba kita bina, setiap kali diperkukuhkan setiap kali mereka mengoreknya hingga runtuhlah Malaysia Baru yang cuba kita bentuk.

Untuk kembali semula apa yang dihancurkan pengacau dari dalam, kita perlu fokus siapakah ‘musuh’ sebenarnya. Kita tak perlu membuka ruang untuk berhadapan dengan ‘musuh’ baru atau lain. Cukuplah satu musuh dari kem pengkhianat dan pengacau.

Seorang yang pada asasnya mahu menyertai kita melawan ‘musuh’ yang sama, kita harus terima dengan hati-hati, sebab itu perjanjian hitam putih sangat penting. Jangan melepaskan peluang membina kekuatan untuk berhadapan musuh kita yang semakin lemah.

Jangan beri kekuatan kepada musuh sebenar dengan kita berpecah dan tidak boleh bersetuju pada asas yang sangat besar menentukan kita mengembalikan mandat yang dirampas. Itu seharusnya menjadi fokus!

Kesatuan dan persetujuan yang kita bina selama ini diperhati dan dinilai oleh rakyat, jangan sesekali kegagalan kita mencapai kata sepakat dalam hal penting ini, rakyat menjadi muak dan bosan dengan sikap kita.

Lupakan sengketa, ikat kebimbangan dengan janji, biar jelas keingkarannya nanti jika niat untuk khianati, mana janji kita untuk kembali, jangan nanti mandat yang dicari rakyat dah mula benci!

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar P057
Blok Pakatan Harapan