Gaji rendah buat graduan baru dalam dilema

Oleh GEMILANGDAILY

Gaji rendah buat graduan baru dalam dilema. Ketika negara berada pada fasa peralihan ke endemik, norma baharu dalam kehidupan hari ini akibat pandemik COVID-19 dan perubahan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dijangka mengubah sebahagian besar landskap pasaran buruh di Malaysia.

Dalam realiti pasaran buruh pasca pandemik, kesukaran graduan mendapatkan pekerjaan, gaji permulaan terlalu rendah dan terlebih kelayakan dalam pekerjaan bukan cabaran baharu tidak diketahui umum.

Analisis data satu dekad Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) oleh Khazanah Research Institute (KRI) merungkai beberapa dapatan penting perlu diberi perhatian pihak berkepentingan jika mahu mengatasi cabaran graduan baharu dalam pasaran buruh.

Gaji rendah buat graduan baru dalam dilema

Sejak 2012, jumlah keluaran tahunan graduan tempatan melebihi 200,000 orang dan separuh daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun menamatkan pengajian.

Selebihnya, 23 peratus belum mendapatkan pekerjaan, memilih menyambung pengajian (20 peratus), menyertai program peningkatan kemahiran (2.0 peratus) dan sebahagian kecilnya sedang menunggu penempatan pekerjaan (5.0 peratus).

Peratus graduan belum bekerja dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian juga menunjukkan trend menurun, daripada 27 peratus pada 2010 kepada 14 peratus pada 2019.

Namun, persoalannya, adakah statistik ini benar-benar menggambarkan keberhasilan pasaran buruh dalam kalangan graduan baharu?

Dari segi komposisi jantina, peratusan graduan wanita sentiasa melebihi graduan lelaki pada setiap tahun tetapi peratusan graduan wanita belum bekerja sebaik menamatkan pengajian lebih tinggi berbanding graduan lelaki.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya satu pertiga graduan baharu terlebih layak untuk pekerjaan mereka. Malah, peratusannya lebih tinggi dalam kalangan wanita walaupun lebih ramai graduan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai ijazah.

Bahkan, graduan wanita kebanyakannya mendapat tempat dalam pekerjaan kurang berkemahiran menyebabkan mereka terperangkap dengan gaji permulaan lebih rendah.

Dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, lebih separuh graduan hanya memperoleh gaji permulaan di bawah RM1,500, menunjukkan kelembapan pertumbuhan gaji permulaan graduan.

Malah, gaji rendah ini turut berkait rapat dengan kurangnya penciptaan pekerjaan berkemahiran, sebaliknya lebih tertumpu kepada bidang separa mahir. Di samping itu, peratusan graduan bekerja tetap dan sepenuh masa juga semakin menurun, sebaliknya hampir separuh bekerja secara kontrak atau separuh masa.

Data kajian ini juga menunjukkan walaupun lebih kerap menukar pekerjaan mahupun mempunyai lebih daripada satu pekerjaan, pendapatan diterima graduan masih rendah di bawah RM2,000.

Analisis juga menunjukkan semakin ramai graduan memilih bekerja sendiri berbanding ‘makan gaji’. Biarpun tidak disangkal bekerja sendiri terutama jika membabitkan bidang keusahawanan mampu menawarkan peluang pendapatan lumayan, kebanyakan graduan melihat ini hanya laluan sementara bagi mengelak daripada menjadi penganggur.

Malah, graduan berkecimpung dalam bidang usahawan ini juga sebenarnya masih berhasrat meneroka peluang pekerjaan ‘makan gaji’ lebih terjamin dengan pendapatan stabil.

Bidang TVET semakin mendapat perhatian

Namun begitu, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat perhatian graduan baharu dengan keberhasilan lebih memuaskan, namun gaji permulaan tetap kekal rendah.

TVET menjadi fokus kerajaan sebagai suatu bidang utama selari dengan perkembangan IR 4.0. Analisis mendapati keberhasilan dalam kalangan graduan baharu TVET adalah lebih baik.

Contohnya, terdapat peningkatan dalam kalangan mereka mendapatkan pekerjaan sepanjang satu dekad lalu, daripada 49 peratus pada 2010 kepada 66 peratus pada 2020.

Keberhasilan graduan TVET mempunyai ijazah juga dilihat lebih baik. Namun, isu gaji rendah masih mencengkam graduan dengan 90 peratus graduan TVET masih memperoleh gaji di bawah RM2,000.

Disebabkan majoriti graduan TVET hanya mempunyai kelayakan diploma dan sijil kemahiran, peluang pekerjaan lebih terhad kepada pekerjaan separa mahir yang pastinya menawarkan gaji permulaan sangat rendah.

Walaupun tujuan menyuburkan pendidikan tinggi adalah untuk peningkatan isu mobiliti sosial, namun graduan daripada keluarga berpendapatan rendah menghadapi situasi lebih mencabar dalam pasaran buruh.

Satu daripada lima graduan menganggur berasal daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM4,000. Malah, graduan kumpulan ini juga dilihat menerima gaji permulaan lebih rendah dan lebih terdedah kepada isu ketidakpadanan pekerjaan.

Disebabkan isu membelenggu graduan baharu ini, kebanyakan mereka dilihat tidak berpuas hati dengan pekerjaan dilakukan serta berhasrat mencari peluang pekerjaan lebih baik.

Kesimpulannya, di sebalik kadar kebolehpasaran tinggi seperti dilaporkan Kajian Pengesanan Graduan setiap tahun, isu keberhasilan graduan harus dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kejayaan mendapatkan pekerjaan semata-mata.

Pelbagai inisiatif direncanakan kebanyakannya memberi tumpuan khusus melahirkan graduan serba berkebolehan dalam mengharungi cabaran dalam pasaran buruh. Namun, tumpuan khusus juga perlu diberikan terhadap pewujudan pekerjaan berkemahiran dengan gaji wajar kepada tenaga kerja.

Dalam hal ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut memberi penekanan kepada reformasi pasaran buruh sebagai pemangkin dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Ia termasuk memastikan peningkatan gaji dan upah bulanan, mempertingkat komponen pendapatan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui peningkatan sumbangan pampasan pekerja serta meningkatkan produktiviti pekerja.

Namun, isu pasaran buruh graduan ini memerlukan penelitian secara menyeluruh, daripada kedua-dua aspek permintaan dan pembekalan pasaran buruh.

Penulis adalah Penyelidik Bersekutu di Khazanah Research Institute (KRI)

BACA JUGA :

Kampung Jawa bakal ditutup selepas 100 tahun beroperasi

Muhyiddin bakal didakwa atas tuduhan rasuah RM92.5 Billion?

Ini tiga sungai di Selangor jadi hotspot lemas sebab kepala air