Ada ustaz kata tak boleh kita keluar dari mazhab dan mahu mengikut Qur’an dan Hadis secara terus. Bahkan ada ustaz yang lebih bodoh mengatakan haram orang nusantara keluar dari mazhab Syafie. Apakah benar begitu?
Orang yang berakal dan beragama, sebelum mengharamkan orang-orang keluar dari mazhab, dia perlu memberikan dalil tentang wajib bermazhab. Adakah Allah mewajibkan orang Islam mengikut mazhab?
Tidak! Sama sekali tidak. Bahkan Allah melarang kaum Muslimin bermazhab dalam beragama. Allah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 31, maksudnya : “Mereka itu menganggap kiyai-kiyai dan pendita-pendita mereka mereka sebagai tuhan mereka selain Allah.”
Dalam Ayat itu, Allah memburukkan ahli-ahli kitab yang mengikut dan bertaqlid kepada apa saja yang dikatakan oleh guru-guru mereka seolah-olah guru-guru itu seperti tuhan.
Adakah Nabi SAW mewajibkan orang Islam mengikut mazhab?
Tidak! Tidak sama sekali, walaupun dengan perkataan yang samar-samar, malah ajaran-ajaran Nabi SAW adalah sebaliknya, iaitu melarang umat Islam bermazhab.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Anas, Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang kepadanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah ku.”
Hadis ini mengajar kita supaya berpegang kepada Qur’an dan Sunnah Nabi SAW, dan Sunnah Sahabat radhiallahu’anhum; bukan sunnah tabi’in, bukan sunnah mujtahidin, bukan sunnah Hanafi dan bukan sunnah Syafie.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan dari Abu Dawud, Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Barangsiapa diberi satu fatwa dengan tidak ada dalil, maka dosanya itu tidak lain kecuali atas orang yang memberi fatwa.”
Hadis ini mengharamkan seseorang memberi fatwa dngan tidak ada dalil atau keterangan, sedangkan asas dalil dalam Islam ialah Qur’an dan Sunnah.
Adakah sahabat-sahabat nabi membolehkan bermazhab?
Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat nabi membolehkannya, bahkan sahabat nabi melarang dengan keras. Telah berkata Mu’az bin Jabal : “Ada pun orang alim itu, jika dia diberi petunjuk, janganlah bertaqlid kepadanya tentang agama kamu, dan jika dia tersesat, janganlah kamu berputus-harapan daripadanya.”
Ibnu Mas’ud telah berkata : “Janganlah sesiapa di antara kamu bertaqld kepada sesiapa pun tentang agamanya.”
Telah berkata Mujahid : “Tidak ada seorang pun selepas Rasulullah SAW, melainkan perkataannya boleh diterima dan boleh ditolak.”
Adakah imam-imam yang empat menyuruh umat Islam bermazhab atau bertaqlid?
Tidak ada seorang pun dari imam yang empat dan mujtahidin yang lain yang menghalalkan bermazhab, bahkan melarang dengan sekeras-kerasnya.
Telah berkata Malik bin Anas : “Ketika Rasulullah wafat, urusan Agama ini telah cukup sempurna, oleh itu tidak patut engkau ikut melainkan sunnah Nabi SAW dan janganlah engkau ikut pendapat orang.”
Telah berkata Ahmad bin Hanbal : “Janganlah engkau bertaqlid kepada sesiapa pun tentang Agama mu.”
Telah berkata Abu Hanifah : “Tidak halal seseorang berfatwa dengan perkataan kami kecuali selepas dia tahu dari mana kami mengambilnya.”
Telah berkata as-Syafie : “Apabila sahih hadis dari Nabi SAW yang menyalahi ijtihad ku, maka ikutlah hadis itu dan ketahuilah bahawa itulah mazhab ku.”
Maka, dengan dalil-dalil dari Qur’an dan Hadis, dan perkataan imam yang empat itu sendiri, nyatalah bahawa :-
Keluar dari sesuatu mazhab itu tidak haram, dan masuk sesuatu mazhab itu bukan wajib.
Wallahu’alam.
AAM