Hasnul fitnah, Bersatu Parit Buntar akan rujuk peguam

Hasnul fitnah, Bersatu Parit Buntar akan rujuk peguam

Bersatu Parit Buntar menuntut Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meminta maaf kepada bahagian itu dalam masa terdekat atau berdepan kemungkinan disaman.

Ketuanya Md Nayan Salleh berkata Bersatu bahagian itu akan merujuk isu berkenaan kepada peguam bagi mendapatkan nasihat mengenai langkah yang wajar diambil ekoran kenyataan dibuat Hasnul Zulkarnain sebelum ini.

Bercakap kepada Malaysiakini Md Nayan berkata dakwaan dibuat Hasnul Zulkarnain mengenai pembabitannya dalam parti di peringkat bahagian atau negeri bersifat fitnah.

“Saya akan rujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya jika dia tidak meminta maaf kepada bahagian dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Md Nayan Bersatu di peringkat bahagian banyak melibatkan Hasnul Zulkarnain dalam kegiatan mereka namun kenyataan dibuat bekas exco Perak itu menjadikan mereka berada dalam dilema dan mungkin dipandang serong oleh pimpinan atasan.

“Justeru dakwaan dia tak mendapat tempat adalah tidak bertanggungjawab dan sekadar memberi alasan untuk menghalalkan tindakannya tidak menyokong Ahmad Faizal Azumu,” katanya.

Malah kata Md Nayan mereka sudah mengatur program yang sesuai untuk wakil rakyat itu sehingga Dis ini.

Hasnul Zulkarnain merupakan bekas ketua Pemuda Amanah yang meninggalkan parti itu untuk menjadi Adun bebas untuk sementara sebelum menyertai Bersatu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang baru-baru ini.

Dia sekali lagi menjadi perhatian selepas didakwa tidak mengundi untuk menyokong Ahmad Faizal agar kekal menjadi menteri besar semasa usul percaya dibawa Umno dalam DUN Perak pada 4 Dis lalu.

Untuk rekod Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu.

Hasnul Zulkarnain juga dikaitkan dengan perakuan bersumpah yang menyokong Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad dilantik menggantikan Ahmad Faizal.

Md Nayan berkata dia memang berhasrat membawa Hasnul Zulkarnain menjadi salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu di Parit Buntar namun ia terhalang oleh kekangan perlembagaan parti.

Katanya Bersatu memang membenarkan seseorang ketua bahagian melantik empat orang yang dirasakan sesuai dan ia sudah dilakukan.

Justeru, katanya, tiada lagi ruang untuk membawa Hasnul Zulkarnain menjadi AJK Bersatu Parit Buntar.

“Takkan saya nak pecat salah seorang AJK yang dah ada? Perlembagaan Bersatu pun tak ada memberi peruntukan untuk tindakan begitu,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555722