Hati-hati bahaya riya’ dalam ibadat sunat, wajib

Hati-hati bahaya riya’ dalam ibadat sunat, wajib

Ada ibadat wajib yang mesti dilakukan secara terbuka. Misalnya, solat Jumaat dan ibadat haji.

Pelakunya mesti berusaha untuk mengelak riya’. Jika wujud riya’ sekalipun, ibadat itu perlu dilakukan secara terbuka sebab itu syaratnya.

Tidak boleh ada alasan, saya tidak mahu hadir solat Jumaat kerana riya’. Kena hadir solat Jumaat dan kena lawan riya’. Sementara tidak boleh solat Jumaat semasa PKP, itu isu lain .

Sedekah wajib iaitu zakat, boleh ditunaikan secara terbuka jika tidak riya’. Juga untuk menjadi contoh kepada orang yang culas keluar zakat.

Jika sedekah wajib secara terbuka menyebabkan riya’ dan masyarakat tidak perlukan contoh lagi, elok sedekah wajib ditunaikan secara tertutup.

Sebab ibadat zakat tidak disyarat dibuat secara terbuka seperti wukuf, solat Jumaat dan sebagainya.

Sedekah sunat elok dibuat secara tertutup sama ada harta sendiri atau harta orang lain. Tidak perlu tular apatah lagi jika berpotensi untuk ada unsur riya’.

Sebab itu solat sunat elok dibuat di rumah seperti solat sunat selepas solat fardu misalnya untuk elak riya’.

Tetapi ada juga ibadat sunat yang elok dibuat secara terbuka seperti solat Hari Raya. Walaupun ada riya’, elok dibuat terbuka untuk tegakkan syiar agama.

Ringkasnya, riya’ wajib dilawan sama ada dalam ibadat sunat atau wajib. Kita tidak tahu dalam hati seseorang ada riya’ atau tidak.

Tetapi petandanya ada. Misalnya, jika ramai-ramai dan ditular, amal itu dibuat tetapi kalau seorang diri, amal itu tidak dibuat.

Itu tanda-tanda riya’ untuk diukur pada diri sendiri bukan untuk dituding kepada orang lain.

Berita Penuh :http://gigitankerengga.blogspot.com/2020/04/melawan-riya-dalam-ibadat-sunat-wajib.html?m=1