Isu TH : Debat tak selesai masalah, Pemuda Pas nak RCI

Isu TH : Debat tak selesai masalah, Pemuda Pas nak RCI

Pemuda PAS memberi penegasan betapa debat seperti yang berlangsung antara bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dan bekas pengerusi Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Rahim pada Sabtu lalu, tidak menyelesaikan kemelut agensi kewangan itu.

Ketuanya Khairil Nizam Khiruddin berkata, apa yang perlu kini adalah disegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Pada saya bagi pihak Pemuda PAS, debat satu setengah jam itu tidaklah menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam TH.

“Sebab itu kami dari tahun lepas lagi memang menegaskan supaya dilaksanakan RCI dan RCI itu bukan sekadar waktu pemerintahan PH, juga sewaktu zaman BN memerintah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Khairil Nizam berkata demikian ketika diminta mengulas debat yang berlangsung antara kedua-dua tokoh itu dan sejauh mana PAS berpuas hati dengan pengisian acara tersebut.

Terdahulu, kerajaan antara lain akan mempertimbangkan keperluan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti.

“Mesyuarat menteri dalam masa terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sementara itu Khairil Nizam berkata, melalui RCI itu maklumat lebih lengkap mengenai keadaan sebenar TH akan dapat diketahui.

“Jadi debat itu sekadar debat kita boleh dengar (hujah) daripada kedua-dua pihak. Dan kedua-dua pihak cuba membawa fakta masing-masing.

“Ia merupakan satu kesedaran kepada rakyat dan tinggal lagi kita mahu pihak yang bebas untuk menentukan hala tuju TH. Perkara ini kita harap dipercepatkan,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/538886