Jamil Khir tak relevan, gagal martabat Mahkamah Syariah sepanjang jadi Menteri Agama

Jamil Khir tak relevan, gagal martabat Mahkamah Syariah sepanjang jadi Menteri Agama

KANUN meneliti kenyataan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sepertimana yang disiarkan di akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Jun, 2020 bertajuk “Pertahankan bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah”.

KANUN ingin menyatakan bahawa Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri telah gagal untuk menaikkan martabat institusi Mahkamah Syariah mahupun undang-undang yang melibatkan Syariah sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Agama ketika Barisan Nasional berkuasa. Justeru, kenyataan beliau ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu kenyataan yang bersifat terfikir kemudian (afterthought), sia-sia dan ibarat meludah ke muka sendiri.

Ketika Pakatan Harapan memerintah (walaupun hanya setakat 22 bulan), telah banyak perubahan dan naik taraf kepada institusi Mahkamah Syariah mahupun undang-undang yang melibatkan Syariah dibuat. Akta Profesyen Guaman Syarie yang tertangguh sejak 1985 berjaya dibawa dan diluluskan ke Parlimen. Mahkamah Syariah Khas (Bahagian Nafkah) ditubuhkan. Akta berkaitan Wakaf yang tertangguh sejak 1985 sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada Mac lalu, namun terhalang akibat langkah sumbang Sheraton. Penyelarasan undang-undang jenayah Syariah seluruh Negara dijadualkan selesai pada Disember 2020, juga terhalang akibat langkah sumbang Sheraton.

PH hanya perlukan 22 bulan cuma, namun semua pembaharuan dan naik taraf institusi Mahkamah Syariah mahupun undang-undang yang melibatkan Syariah disegerakan.

Sepanjang BN memerintah, Akta mudah seperti wakaf pun UMNO BN tidak berani untuk bentangkan di Parlimen kerana takutnya UMNO BN kepada MCA. Kini Jamil Khir tiba-tiba cuba mendongak mencari udara talian hayat tatkala PN hanya punya 2 majoriti mudah.

Justeru KANUN nasihatkan UMNO, BN, rakan komplot mereka PAS dan seterusnya Jamil Khir untuk bermuhasabah diri. Jika dengan MCA pun tidak berani untuk berdepan, usahlah cuba mencari talian hayat murahan begini.

KANUN cuma ingin bertanya. Apa khabar RUU355?

Dr Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN
Parti Amanah Negara