Jawatan TPM: Tak mungkin ulamak Pas menipu

Jawatan TPM: Tak mungkin ulamak Pas menipu. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau bersangka baik terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mungkin benar-benar tidak tahu mengenai wujudnya perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk BERSATU.

Beliau mendakwa, perkara itu mungkin juga berlaku disebabkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan telah membelakangi Abdul Hadi ketika membuat perjanjian berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan situasi sama juga berlaku dalam isu penyertaan PAS dalam Parti Perikatan Nasional (PN).

“Masih segar dalam ingatan bahkan tercatat jelas dalam tiga minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional bertarikh 17 Jun 2020, 6 Ogos dan 13 Ogos 2020, bahawa Timbalan Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disokong oleh pimpinan PAS yang lain pada waktu itu, bersungguh-sungguh menafikan bahawa PAS bersetuju menyertai PN.

“Apatah lagi mendaftarkannya sebagai sebuah parti dan PAS menjadi salah satu komponennya.

Jawatan TPM: Tak mungkin ulamak Pas menipu

“Tidak mungkin pimpinan Ulamak menipu!,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai mengulas isu berkaitan Perjanjian Persefahaman antara PN dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jawatan TPM.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi berkata tidak wujud perjanjian pelantikan TPM dalam PN, namun beliau mengakui perkara itu dibincangkan di antara PN dengan Ismail Sabri dan tiada keputusan dicapai.

Perkara mengenai jawatan berkenaan turut dibangkitkan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri mengenai jawatan itu memang wujud.

Asyraf Wajdi berkata, mungkin benar mereka tidak tahu atau Setiausaha Agung PAS menyertai Jawatankuasa Penaja PN dan membuat perjanjian bersama BERSATU dengan membelakangi parti dan kepemimpinan PAS.

Mengulas lanjut, katanya sehinggalah pada 19 Ogos 2020, Takiyuddin mengisytiharkan dalam laporan media bahawa PAS itu akan menyertai PN.

“Malang sekali, akhirnya Muafakat Nasional (MN) yang terbentuk atas deraian air mata, terkubur begitu saja akibat hilangnya kejujuran dan keikhlasan dalam permuafakatan,” katanya.

BACA:

Jawatan TPM: Muhyiddin ‘sound’ Hadi, minta rujuk SU Agung Pas

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli buka jawatan kosong

KBS buka jawatan kosong, mohon sekarang