Kemelut politik : DAP buka pintu rundingan, dakwa majlis presiden PH bagi kebenaran

Kemelut politik : DAP buka pintu rundingan, dakwa majlis presiden PH bagi kebenaran

Dap bersedia untuk berunding secara rasmi dengan kerajaan bagi mencapai satu konsensus nasional dengan semua parti politik bagi menjayakan Belanjawan 2021 dan memerangi COVID-19.

Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, beliau dan rakan-rakan sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan parti-parti lain, cuma menunggu pihak perdana menteri mengadakan rundingan rasmi.

Menurut Anthony, hasratnya itu telah pun dimaklumkan dan dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Majlis Presiden Pakatan telah memberi persetujuan untuk saya dan rakan-rakan untuk berunding dan menyatakan pandangan kita, termasuk juga ada beberapa siri mesyuarat tidak rasmi dan perjumpaan dengan rakan-rakan dari parti lain untuk kita membincangkan mengenai kemungkinan tersebut.

“Tetapi apapun saya yakin bahawa yang paling penting perdana menteri perlu mengambil langkah tersebut.

“Kita boleh duduk, bincang dan cakap, tapi kalau tidak ada keinginan politik dari pihak perdana menteri maka perkara ini takkan berjalan,” jelasnya.

Kata Anthony, sekiranya ruang rundingan itu diberikan, maka urusan penting negara seperti pembekalan belanjawan itu dapat diluluskan.

“Kalau kita diberikan ruang untuk memberikan pendapat, kalau ada rundingan itu berlaku, maka urusan kerajaan dapat dijalankan dan Bajet 2021 dapat diluluskan,” katanya.

Bagaimanapun Anthony menolak untuk menyatakan syarat-syarat rundingan kepada media kerana katanya yang penting perbincangan itu harus direalisasikan.

“Saya tak nak meletakkan apa syarat-syarat melalui platform media dan kemudian perbincangan itu tak jadi.

“Biarlah kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang ada niat untuk adakan rundingan terlebih dahulu.

“Sudah tentunya dari blok pembangkang sudah berkali-kali mengatakan kita bersedia untuk duduk semeja,” katanya lagi.

Sebelum ini Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong menyatakan syarat rundingan iaitu perdana menteri harus ‘mengorbankan’ Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/dap-bersedia-cuma-tunggu-pm-adakan-rundingan-rasmi-anthony-loke-265345