Kerajaan digesa perbaiki agihan bantuan dalam menghadapi Ramadan paling mencabar

Kerajaan digesa perbaiki agihan bantuan dalam menghadapi Ramadan paling mencabar

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menggambarkan betapa Ramadan kali ini mengajak agar umat Islam sentiasa diberikan kesabaran serta dilindungi dari sebarang musibah.

Sehubungan itu, kerajaan diseru agar  memperbaiki agihan bantuan kepada rakyat agar ia mencapai sasaran yang sepatutnya.

Perkara itu dikatakan oleh Pengerusinya, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan yang menjelaskan bahawa Ramadan kali ini adalah yang paling mencabar bagi umat Islam sepanjang tempoh kemerdekaan negara.

Katanya, cabaran umat Islam dalam Ramadan kali ini turut dirasai di seluruh dunia akibat wabak Covid-19 yang melanda hingga hari ini.

“Dalam perutusan Perdana Menteri awal malam semalam menyatakan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa keempat di mana ianya telah dilanjutkan dan akan berakhir pada 12 Mei 2020 nanti.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru rakyat di negeri Johor khususnya dan di negara ini amnya, agar mematuhi segala perintah yang telah dikeluarkan agar segala usaha membendung wabak Covid-19 ini berjaya.

“Selain itu, saya juga menyeru kepada kerajaan agar agihan bantuan tidak dipolitikkan dengan menghalang wakil rakyat pembangkang dari terlibat menguruskan bantuan tersebut.

“Perbaiki kelemahan yang ada supaya rakyat di negara ini mampu untuk menjalankan ibadah puasa dengan baik serta sempurna dengan bekalan makanan yang mencukupi sepanjang PKP berlangsung.

“Kepada frontliners saya juga ingin mengucapkan syabas, tabah dan sabar melaksanakan amanah anda dibulan yang mulia ini semoga Allah melipat gandakan kerahmatan dan keredhaanNya ke atas anda semua,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Adun Parit Yaani berkata harapan untuk melihat kejayaan membenteras wabak Covid-19 ini amat dinantikan oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Suhaizan Kaiat turut memberikan kenyataan agar semua umat Islam di negara ini memperbanyakkan doa untuk menghindarkan wabak Covid-19 ini bersempena bulan Ramadan yang mulia.

Sehubungan dengan itu beliau turut mendoakan agar pesakit Covid-19 yang masih dirawat untuk segera sembuh serta mengucapkan takziah kepada keluarga yang terkorban dalam kes penyakit tersebut.

“Saya mengajak umat Islam benar-benar membersihkan diri sepanjang bulan Ramadan ini dan memohon kepada Allah SWT untuk menghapuskan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini.

“Cabaran yang dialami bukan sahaja bagi rakyat malah ia juga akan dirasai oleh pemimpin yang akan memikul tanggungjawab dalam usaha memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Kerajaan juga perlu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat untuk memastikan tahap keselamatan serta kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan apatah lagi cabaran dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mendoakan agar semua perkara dan cabaran dalam dilepasi dengan baik oleh semua pihak agar sebarang perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku sepanjang Ramadan dalam PKP ini,” katanya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/ramadan-paling-mencabar-perbaiki-agihan-bantuan/