Kerajaan PN boleh tumbang bila-bila masa

Kerajaan PN boleh tumbang bila-bila masa

Memang penting untuk Muhyiddin Yassin memastikan kesetiaan parti komponen Perikatan Nasional (PN) berpihak kepadanya sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.

Diminta mengulas surat presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada perdana menteri yang meminta pertimbangan jawatan buat empat pemimpin Umno Sabah, kata Jeniri, biarpun keputusan terpulang pada Muhyiddin, beliau masih perlu memikirkan soal sokongan terhadap dirinya.

“Satu perkara penting untuk perdana menteri sekarang adalah untuk memastikan kesetiaan orang terhadap beliau, di tengah-tengah kedudukannya yang tidak begitu terjamin (dalam PN).

“Jadi dengan apa-apa cara dan strategi, beliau nak memberi imbalan kepada mereka (komponen PN), untuk memastikan sokongan itu sekurang-kurangnya dapat diberi dan kemudiannya, PN itu tidak tumbang sebelum PRU-15.

“Jadi itu satu strategi untuk memastikan kemantapan kedudukan beliau sebagai PM dan juga (untuk) PN,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Kata Jeniri, adalah sesuatu yang “normal” buat mana-mana presiden parti dalam sesusatu pakatan politik mengemukakan calon bagi menerajui jawatan tertentu.

“Beliau (Zahid) bukan mendesak, hanya memohon. Pertimbangan terakhir itu terpulang kepada perdana menteri, sama ada akur pada cadangan itu atau tidak,” katanya lagi.

Nama Bung Moktar jadi sebutan

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Dr Arnold Puyok, permohonan Ahmad Zahid itu mungkin dibuat atas merit bahawa Umno masih mempunyai sokongan yang kuat di Sabah, menjadikan parti itu layak diberikan representasi yang kuat bagi mewakili negeri di peringkat persekutuan.

“Di beberapa kawasan di Sabah, jentera Umno juga masih berfungsi. Jika kita lihat pada PRK (pilihan raya kecil) Kimanis lepas, jentera Umno amat membantu. .

“Muhyiddin akan menggunakan pengaruh beliau sebagai perdana menteri untuk menarik atau mengukuhkan sokongan dari pelbagai pihak. Persoalannya, sejauh manakah beliau akan memberikan konsesi kepada Umno dan PAS?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 17 April lalu, sepucuk surat tersebar memaparkan tuntutan Ahmad Zahid untuk empat pemimpin Umno Sabah agar dilantik menjawat beberapa jawatan.

Antaranya Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dicadangkan untuk jawatan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Ahli parlimen Kinabatangan itu sedang dibicarakan bersama isterinya, Zizie Izette Samad, atas tuduhan rasuah semasa menjadi pengerusi bukan eksekutif Felcra.

Meskipun mengakui status Bung Moktar sedang dibicarakan mungkin menjadi pertikaian sesetengah pihak, kata Jeniri, pemilihan tokoh itu mungkin atas faktor kesetiaannya terhadap Umno, setelah ramai pemimpin meningalkan parti akibat kekalahan teruk BN dalam PRU ke-14 lalu.

Selain Bung, Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dicadang dilantik sebagai timbalan menteri; bekas menteri Abdul Rahman Dahlan, dicadang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah; manakala Timbalan Ketua Umno Sabah, Yakubah Khan, dicadang dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Mesti ada perbincangan

Untuk rekod, Sabah kini ditadbir oleh Warisan yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, disoal apakah surat Ahmad Zahid itu menunjukkan Umno sedang menggunakan faktor sokongan untuk “merebut peluang” jawatan sebelum berpatah arang dengan Bersatu dan PN menjelang PRU-15 nanti, Jeniri tidak menolak perkara tersebut.

“Tak ada alasan untuk Umno (bersama PN pada PRU-15).

“Mereka takkan bertanding sebagai PN kerana ini akan merugikan Umno yang ternyata mendapat sokongan padu di kawasan Melayu,” katanya yang turut meningatkan bahawa majoriti kerusi di semenanjung adalah majoriti Melayu.

“Jadi kenapa dia (Umno) harus korbankan?” soal Jeniri.

Lebih-lebih lagi, katanya, Umno yang memiliki banyak kerusi itu dilihat dipinggirkan dalam kabinet PN, dan diberikan jawatan yang tidak begitu penting.

Jeniri yakin untuk PRU ke-15 nanti, Umno akan meninggalkan PN serta Bersatu, bertanding bersama PAS dalam entiti lain – Muafakat Nasional – bagi memastikan parti itu dapat menjadi parti tulang belakang dalam pembentukan kerajaan.