Kes rogol remaja dalam lokap, CCTV ada tapi tak boleh merakam – Polis

Kes rogol remaja dalam lokap, CCTV ada tapi tak boleh merakam – Polis

Polis Sarawak percaya kejadian rogol membabitkan tahanan remaja di lokap Balai Polis Pusat Miri berlaku, berdasarkan percakapan saksi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut memandangkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokap berkenaan hanya berfungsi untuk pemantauan, bukan untuk merakam.

“Kamera litar tertutup memang ada di lokap berkenaan, tetapi saya difahamkan tidak boleh merakam, hanya boleh ‘monitor’ (pantau) oleh pengawal yang bertugas.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan menyiasat kenapa perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya pada sidang media pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sarawak bagi 2020.

Katanya, hasil siasatan dalaman itu yang diselaraskan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Fisol Salleh akan diketahui minggu ini.

“Berdasarkan bukti-bukti percakapan daripada saksi, kita mendapati memang berlaku kejadian itu (rogol) di dalam lokap,” katanya.

Senator Alan Ling Sie Kiong menerusi hantaran di Facebook beliau Sabtu lalu mendedahkan satu laporan polis dibuat seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Balai Polis Pusat Miri, mendakwa dirogol oleh tahanan lain semasa berada dalam lokap di balai tersebut pada 9 Jan lepas.

Ketika mengulas dakwaan itu, Aidi dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan tersebut termasuk aspek kecuaian anggota bertugas.

Dua anggota yang bertugas ketika kejadian itu turut digantung kerja serta-merta sementara siasatan sedang dijalankan. –FMT