Rata-rata warganet mempersoal sejauhmana perkembangan terhadap usaha Pas dalam memerangi judi setelah menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Pas Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pernah menggesa usaha memerangi judi bukan terhenti setakat perjudian haram.
Beliau dalam kenyataan pada 18 Jun 2019 berkata usaha tersebut bahkan termasuk diharamkan judi yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan, khasnya Kasino Genting, Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai.
Reaksi wakil rakyat Pas berusia 45 tahun itu susulan usaha dan amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam memerangi judi haram.
“Kenyataan beliau (Abdul Hamid) sepatutnya menjadi komitmen semua menteri kabinet khasnya Menteri Agama dan Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Ahmad Marzuk juga tahun lalu menegaskan tiada pihak yang dapat menyangkal kedudukan Pas yang telah lama mempelopori usaha memerangi judi di negara ini.
“Ini dibuktikan dengan kepimpinan Arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan yang terus mengharamkan premis judi ‘halal’ di Kelantan sebaik sahaja Pas memenangi Pilihan Raya Umum Negeri Kelantan pada tahun 1990.
“Kelantan menjadi model kerajaan negeri pertama dalam negara yang bersih daripada premis judi,” kata bekas Exco Dewan Pemuda Pas Kelantan itu.
Ahmad Marzuk kini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kerajaan ‘tebuk atap’.
Berita penuh : http://Netizen pertikai fungsi Pas dalam kerajaan hingga aktiviti judi semakin bertambah