PDRM kaji semula elemen jenayah indeks

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji semula elemen-elemen dalam pengukuran jenayah indeks di Malaysia, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, hari ini.

Katanya, cara pengukuran indeks jenayah yang diguna pakai hari ini sudah tidak relevan untuk dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Sekarang ini ia masih dalam kajian dan jika diluluskan kemungkinan KPI untuk jenayah indeks baharu akan diguna pakai bermula 1 Januari 2020.

“Hal ini kerana pihak PDRM mendapati saban tahun jenayah indeks sentiasa menurun namun ketakutan tentang jenayah masih wujud dalam kalangan masyarakat. Ia tidak selari… oleh itu kita akan menambah baik,” katanya ketika hadir lawatan kerja di Dewan Komuniti Pengkalan Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, di sini.

Menurutnya, statistik sejak Januari sehingga 27 Ogos ini, menunjukkan kadar jenayah indeks telah menurun sebanyak 7.2 peratus secara keseluruhannya namun terdapat peningkatan kecil di Pulau Pinang, Sarawak, dan Terengganu.

Menurut Rosli, jenayah indeks terbahagi kepada jenayah kekerasan yang antaranya termasuk bunuh, rogol, samun dan pergaduhan yang mendatangkan kecederaan, dan jenayah harta benda seperti kecurian dalam dan luar bangunan, kenderaan dan sebagainya.

Beliau berkata jenayah penyalahgunaan dadah mungkin akan dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam KPI kerana jenayah itu merupakan penyumbang kepada kes pecah rumah, samun, dan kecurian.

“PDRM akan buat tinjauan berdasarkan pemerhatian aspek ketakutan tentang jenayah dalam kalangan masyarakat. Pada pendapat saya, media sosial mampu menjadi salah satu sebabnya berlaku ketakutan.

Apabila sesuatu kes atau peristiwa diviralkan, ia akan menjadi satu kegusaran. Kadang-kadang ia disalah tafsir dan keadaan ini menjadi ketakutan walhal ia tidak begitu besar,” katanya.

Dalam pada itu Rosli berkata sokongan dan kerjasama padu daripada masyarakat untuk turut menangani jenayah di sekitar kawasan penempatan amat diperlukan untuk menjamin keselamatan masyarakat.

Beliau berkata kawasan yang dikawal oleh penduduk merupakan kawasan yang digeruni oleh penjenayah.

BERNAMA