Petani digalakkan usahakan ladang integrasi

Petani di negara ini digalakkan supaya mengusahakan ladang integrasi dengan mempelbagaikan tanaman dan tidak hanya menumpukan kepada penanaman komoditi utama semata-mata.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata langkah itu penting bagi memastikan pendapatan petani tidak terjejas dan mempunyai pendapatan lain sekiranya harga pasaran komoditi utama seperti kelapa sawit mengalami penurunan.

Lagipun, menurutnya, kementerian mempunyai peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun depan untuk diagihkan kepada petani yang ingin mengusahakan penanaman integrasi.

“Peruntukan telah pun diumumkan dalam Belanjawan 2020 dan ia harus dimanfaatkan supaya kita (petani) tidak lagi terikat (terjejas) dengan harga pasaran komoditi utama.

“Dalam kata lain, kita hendak mempelbagaikan tanaman mereka,” kata beliau dalam sidang media selepas melawat ke Ladang Aqina Fruits Plantation Sdn Bhd di Kampung Sam, Pontian, di sini, hari ini.

Sim berkata antara tanaman integrasi yang boleh dipertimbangkan ialah nanas, kelapa dan sayur-sayuran.

Katanya, dari segi sains pertanian, penanaman integrasi ini boleh membantu mengurangkan risiko penyakit atau serangan serangga terhadap tanaman-tanaman sedia ada.

“…tetapi malangnya pemikiran industri kita sentiasa mahu benda yang sama (melakukan tanaman sama dengan orang lain).

“Akibatnya kita tidak ada kepelbagaian. Sebagai contoh, sekarang kita ada lapan juta hektar tanah pertanian namun enam juta hektar daripadanya adalah ditanam dengan kelapa sawit.

“Jadi apabila harga komoditi turun, ia sudah memberi impak,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan petani cenderung memilih ladang intergrasi, kementerian menurutnya sedang berbincang dengan Kementerian Industri Utama berhubung bantuan yang boleh diberikan, selain daripada geran.

Ini termasuk dari segi nasihat teknikal dan nasihat pakar.

Sementara itu, Sim berkata petani boleh memanfaatkan penanaman nanas kerana permintaan pasaran China terhadap komoditi itu sangat tinggi.

Katanya, negara itu memerlukan sebanyak 100 kontena atau 1,800 tan bekalan nanas sebulan namun hanya 20 kontena sahaja boleh dipenuhi Malaysia.

“Ini hanya untuk pasaran China, belum lagi pasaran Eropah. Jadi saya harap lebih ramai petani akan menceburi tanaman ini,” katanya.

BERNAMA