PKPB : Pemandu teksi mengeluh pendapatan terjejas teruk

PKPB : Pemandu teksi mengeluh pendapatan terjejas teruk

Susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang kembali dilaksanakan dan kini dilanjutkan sehingga 9 November, pendapatan pemandu teksi di sekitar Lembah Klang kembali terjejas.

Abdul Manap Nazir tidak terkecuali merasakan kesan PKPB apabila dia terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan seorang pelanggan dalam perjalanan jarak dekat.

Ketika ditemu bual oleh Malaysiakini, katanya dia kini mengharapkan seorang pelanggan tetap yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.

“Sebelum ni saya tunggu pelanggan sejam pun boleh dapat. Tapi sekarang lima jam baru dapat seorang penumpang. Kadang-kadang sampai setengah hari.

“Buat masa ni nak capai RM50 pun payah. Ada kalanya boleh dapat RM20 saja. Kalau nak dibandingkan sewa kereta, kos lain tak sepadan dengan apa kita dapat,” katanya ketika bercakap kepada Malaysiakini.

Abdul Manap, 65, berkata selain perlu bersaing dengan perkhidmatan e-hailing, dia juga terpaksa berdepan dengan perkhidmatan bas percuma di sekitar Shah Alam.

“Orang banyak pilihan. Pilihan terlalu banyak. Tergugat sangat. Orang tak ramai keluar oleh kerana tak ramai penumpang,” katanya.

Salah seorang rakannya yang juga pemandu teksi, Rostan Akad turut berkongsi masalah yang sama.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata dia sudah puas berfikir bagaimana cara lain untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka sekiranya PKPB berterusan.

“Merentas daerah pun jadi faktor. Penumpang pula ada had. Kalau ada yang bawa anak tak boleh lepas, terpaksa tolak daripada kita kena saman. Bukan seringgit dua ringgit,” katanya.

Selain mengambil langkah berjimat-cermat dalam berbelanja, Roslan, 55, berkata jika boleh dia mahu mencari pekerjaan lain seperti pengawal keselamatan tetapi faktor usianya menjadi penghalang.

“Saya ada tinjau.. Macam (nak jadi) security (pengawal keselamatan) dia (majikan) tanya umur. Bila (umur) 50 lebih tak nak ambil,” katanya yang merupakan pemandu teksi sejak 1992.

Katanya kebanyakan majikan memilih untuk mengambil golongan muda yang telah dibuang kerja oleh syarikat-syarikat lain seperti syarikat penerbangan dan automotif.

“Sekarang anak saya terpaksa kerja buat part time (separuh masa) walaupun masih belajar (kolej),” katanya.

Di bawah PKPB, perkhidmatan teksi dan e-hailing hanya dibenarkan maksimum dua orang penumpang. Premis makanan, kedai serbaneka dan kedai runcit pula hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Kerajaan juga mengarahkan semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta di bahagian pengurusan dan penyeliaan di kawasan PKPB tidak lagi dibenarkan ke pejabat sebaliknya bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Okt lalu.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah.

Keluhan yang sama disuarakan oleh Mohd Sham Jusoh dan Mohd Yusof Musa yang merupakan pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur.

Disebabkan rentas daerah tidak dibenarkan, Mohd Sham, 47, berkata dia terpaksa menolak dan kebanyakan penumpang yang diambil sekitar Setapak hanya menaiki teksi dari rumah ke pasar raya.

“Dulu masa ramai orang kerja (ke pejabat) mungkin ke pejabat kerajaan, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) urusan-urusan pejabat. Sekarang dah berkurangan.

“Sebelum PKPB boleh capai RM100 (pendapatan seharian). Kalau PKPB nak dapat RM50 pun susah, tunggu dari pagi sampai malam,” katanya yang telah memandu teksi selama 20 tahun.

Mohd Yusof pula berkata jika di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), restoran dan kedai makan dibenarkan untuk beroperasi sehingga 12 malam, tetapi sewaktu PKPB dia berkata orang ramai memilih untuk makan di rumah kerana waktu yang pendek untuk makan di luar pada waktu malam.

“Kadang-kadang RM30 saja (sehari). Malam pun dah tak ada (penumpang) sebab sekarang ni sampai pukul 10 saja.

“Kalau ada pun mungkin yang nak ke hospital, klinik. Takkanlah kalau demam pun nak pergi klinikkan? Sekarang (keadaan) memang teruk.

“Saya pakai (kereta Proton) Iswara lama, tapi nak tukar kereta pun takut sebab takut keadaan semakin teruk,” katanya.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula pada 14 Okt lalu dilanjutkan sehingga 9 Nov ini berikutan penularan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Berita penuh ; https://www.malaysiakini.com/news/548631