Pulut Ilham kini kena serbu selepas Ebit Lew datang tolong. “Jualan makin meningkat hari-hari, habis orang beli,” demikian kata Rita Amri, selepas tular kisah anaknya, Mohammad Ilham Mohd Fazil, membantu menjual kuih pulut panggang setiap hari di LRT Setiawangsa sejak berumur 10 tahun.
Menurut ibu tunggal berusia 42 tahun itu, perniagaan pulut panggangnya semakin rancak sehingga tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
“Nampak perbezaan sekarang, dulu balik berniaga mesti ada lebih yang tak terjual, dulu untung pun tiada sangat, tapi sekarang ini dah nampak jualan makin meningkat, boleh kata hari-hari habis dijual,” katanya ketika ditemui di kediaman di Keramat, Kuala Lumpur.
Rita berkata, hasil jualannya juga semakin baik kini sehingga mencecah jumlah yang belum pernah dirasai sepanjang tujuh tahun menjalankan perniagaan.
Katanya, disebabkan terlalu banyak permintaan, beliau terpaksa mengehadkan 10 batang untuk seorang pelanggan agar semua dapat merasai pulut panggang yang dijual pada harga RM1.
“Harga tetap RM1 dengan saiz yang sama. Ramai pelanggan kata makan satu dah kenyang sebab pulut panggang saya buat gemuk-gemuk.
Walaupun jualan kian meningkat, Rita Amri masih mengekalkan harga dan saiz pulut panggang yang sama.
“Belum lagi sampai hantar pulut panggang, pelanggan dah berderet, sampai terpaksa hadkan seorang beli 10 sahaja sebab ramai yang masih menunggu nak beli,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Selain bersyukur ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan, Rita berkata, beliau tidak mahu hanya bergantung kepada bantuan semata-mata, sebaliknya akan berusaha mencari pendapatan sendiri untuk keluarganya, selagi masih ada kudrat.
“Bagi saya, yang penting kita kena usaha dulu dan jangan terus mengharapkan bantuan orang. Bila kita usaha, Tuhan akan bagi kita rezeki, cepat atau lambat, kita sabar kerja ikhlas, pasti ada rezeki.
“Sekarang lihat perniagaan makin bertambah baik, saya dah pasang impian satu hari nanti saya pula ingin bantu orang lain, saya pula mahu jadi pemberi zakat,” katanya yang juga penerima bantuan zakat.
Terdahulu, FMT melaporkan kegigihan Ilham menjual kuih pulut panggang di LRT Setiawangsa setiap hari, sejak berumur 10 tahun, mendapat perhatian warganet.
Lebih mengharukan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pernah mengambil upah walaupun sesen, sebaliknya menyerahkan hasil jualan sepenuhnya kepada ibu.
BACA:
Kelibat pesakit lumpuh datang sendiri ke bank untuk tukar kad dipersoal