Tabika elit : Bayar lebih untuk kurikulum lebih baik – Timb Menteri

Tabika elit : Bayar lebih untuk kurikulum lebih baik – Timb Menteri

Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) elit sejajar kemajuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, terutama berkaitan konsep kelas pintar.

Kertas kerja mengenainya sudah disiapkan dan akan diperinci sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dinilai sebelum dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Tabika elit dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan kerana yurannya lebih tinggi berbanding yuran Tabika Kemas biasa antara RM5 hingga RM25 sebulan.

“Kita tidak paksa ibu bapa menghantar anak ke Tabika elit kerana 10,900 Tabika biasa masih beroperasi, tetapi Tabika elit menyediakan kurikulum lebih baik berbanding biasa.

“Jika Kabinet bersetuju, kita akan wujudkan projek perintis di kawasan tertentu khusus untuk ibu bapa daripada golongan pertengahan 40 peratus atau M40,” katanya selepas menyampaikan Sijil Pendidikan Awal Kanak-kanak (SPAK) 2020 kepada 222 pelatih di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Ahmad Kamal Idris Nawawi dan Pengarah Bahagian Latihan dan Pembangunan Profesional Kemas, Nor’ein Abdul Shukor.

Pelatih terbabit adalah mereka yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan menjalani latihan tiga bulan, berakhir hari ini bagi melayakkan mereka dilantik sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat (Pendidik Masyarakat) Gred S29 kontrak.

Beliau berkata, Tabika elit itu adalah lanjutan daripada kejayaan Kemas menyediakan modul pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (e-STREAM) yang dilaksanakan di 150 Tabika Kemas di seluruh negara.

“Modul itu diterapkan dalam konsep kelas pintar dalam pembelajaran awal kanak-kanak abad ke-21 di Tabika berkenaan.

“KPLB sudah membelanjakan RM23 juta untuk menjalankan kerja pembaikan, menaik taraf dan membina Tabika Kemas baharu sepanjang tahun ini,” katanya.

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/625592/kemas-cadang-wujudkan-tabika-elit