Tidak semua MP pembangkang sokong Anwar, dakwa Tun M

Tidak semua MP pembangkang sokong Anwar, dakwa Tun M

Walaupun Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ketua pembangkang di Parlimen, namun tidak bermakna beliau mendapat sokongan semua anggota Dewan Rakyat dalam blok pembangkang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir sehubungan itu berkata, sebarang bentuk kerjasama bersama Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li tidak dibincangkan bersama Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Ketua pembangkang tidak mendapat sokongan majoriti dari pembangkang. Kami bukan di bawah beliau (Anwar).

“Beliau (Anwar) sebagai ketua pembangkang namun tidak boleh mengawal kita. Kita boleh melakukan apa yang kita suka. Itu jelas.

“Saya tidak perlu menyatakan sokongan dan kesetiaan kepada ketua pembangkang,” katanya pada sidang akhbar bersama Tengku Razaleigh di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita adakah berlangsung sebarang perbincangan bersama Anwar berhubung kerjasama yang diumumkan bersama Tengku Razaleigh hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, hubungannya dengan Anwar tidak begitu dekat.

“Dia tidak ada kontak dengan saya. Jadi, saya tidak dapat berbincang dengannya,” katanya.

Pada sidang akhbar bersama hari ini, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh membayangkan kerajaan PN bakal hilang majoriti hasil undian Belanjawan 2021 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

Kedua-dua mereka juga buat pertama kalinya secara terbuka menyatakan kesepakatan mereka untuk bekerjasama bagi membantu menerajui kerajaan baharu yang akan ditubuhkan nanti.

Menurut mereka, kesepakatan itu demi memulihkan semula keadaan negara yang kini disifatkan telah lari dari landasan sebenar akibat sikap mementingkan diri majoriti pemimpin politik.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/114762/BERITA/Politik/Anwar-tidak-diberitahu-mengenai-kerjasama-Tun-M-dengan-Ku-Li