Usah gopoh nak PRN Sarawak, tumpu redakan Covid-19 dulu – Wanita PKR

Usah gopoh nak PRN Sarawak, tumpu redakan Covid-19 dulu – Wanita PKR

Wanita PKR Sarawak menggesa Ketua Menteri Abang Johari Openg menangguhkan hasrat mengadakan pilihan raya negeri (PRN) “bila-bila masa dari sekarang” ekoran penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan hari ini, timbalan ketuanya Zulhaidah Suboh menasihatkan pemimpin kerajaan Sarawak itu agar memberi perhatian untuk menyelesaikan wabak tersebut terlebih dulu.

“Merujuk kepada kenyataan terbarunya yang menggambarkan bahawa pemilihan negeri akan diadakan pada bila-bila masa, kami dari Wanita PKR Sarawak meminta agar beliau menangguhkan rancangannya untuk mengadakan pemilihan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulhaidah juga mengingatkan gelombang baru kes Covid-19 selepas PRN Sabah berlangsung kini membimbangkan ramai orang.

“Pilihan raya memang melibatkan pergerakan masyarakat setempat.

“Proses kempen akan meningkatkan pergerakan sosial dan hubungan rapat antara calon dan pengundinya. Ini akan meningkatkan risiko wabak.

“Dalam situasi seperti ini, ketika rakyat sedang menghadapi cabaran ekonomi dan kesihatan akibat pandemik, kerajaan negeri mesti memberi fokus untuk mengambil langkah-langkah menangani cabaran ini,” tambahnya.

Zulhaidah berkata, kerajaan negeri yang masih ada sembilan bulan lagi sebelum perlu mendapatkan mandat baru.

Pada 3 Okt, Malaysia mencatat rekod tertinggi dalam jumlah kes Covid-19 harian iaitu 317 kes. Sementara sebanyak 293 kes direkodkan semalam.

Beberapa ahli politik yang turun berkempen semasa PRN Sabah dijangkiti Covid-19, manakala segelintir daripadanya tidak melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari, sehingga menimbulkan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata tidak semua individu yang positif Covid-19 yang pulang dari Sabah adalah ahli politik.

Katanya mereka yang positif yang pulang dari Sabah termasuk pelancong dan ahli perniagaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/545243