Usul undi tak percaya : Mampukah Muhyiddin buktikan sokongan?

Usul undi tak percaya : Mampukah Muhyiddin buktikan sokongan?

Memahami demokrasi berparlimen, parti pembangkang boleh membentangkan usul ‘undi tidak percaya’, khususnya apabila kerajaan gagal melaksanakan kewajibannya, atau memerintah dengan cara yang merugikan negara. Bagi kerajaan pula, biasanya mereka melakukan ‘undi percaya’ apabila menghadapi krisis ketidakyakinan rakyat terhadap mandat, dasar belanjawan atau lain-lain dasar mereka. Tujuannya adalah untuk membuktikan dasar pemerintahan mereka mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Merujuk kes terdahulu, Tun Hussein pernah mengadakan sidang tergempar Parlimen pada 26 Jan 1976 – sebelas hari selepas pelantikannya sebagai perdana menteri ketiga berikutan kematian perdana menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Hanya selepas usul undi percaya kepadanya sebagai perdana menteri diluluskan oleh Dewan Rakyat barulah Parlimen meneruskan urusan lain termasuk pembukaan Parlimen pada akhir Mac tahun yang sama. Kaedah ini juga boleh digunapakai oleh pihak kerajaan/parlimen bagi membuktikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Namun menempuh sidang parlimen pada 18 Mei nanti adakah Tan Sri Muhyiddin cukup bersedia?

Selain itu dalam konteks Malaysia, tidak pernah terjadi parti pembangkang membentangkan usul ‘undi percaya’ malah ia janggal kerana tidak pernah berlaku. Oleh itu, penolakan usul percaya yang dibawa oleh Dato’ Seri Shafie Afdal adalah bertepatan dengan Peraturan 62(1) Standing Orders menetapkan di mana Speakerlah yang mempunyai kuasa membenarkan atau menolak usul ini. Dalam hal ini, sebelum membuat keputusannya, Speaker akan menilai tiga perkara berikut, iaitu usul itu mestilah perkara tertentu, melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Pengalaman lalu, usul ‘undi tidak percaya’ pernah dibentangkan sebelum ini paling kurang melibatkan 3 peristiwa, iaitu di DUN Sarawak pada tahun 1966 (Tan Sri Stephen Kalong Ningkan), di Selangor pada tahun 1976 (Dato’ Harun Idris), dan di Kelantan pada tahun 1977 (Dato’ Mohamad Nasir). Ketiga-tiga undi tidak percaya ini berakhir dengan Ketua Menteri (KM) dan Menteri Besar (MB) meletakkan jawatan.

Ringkasnya, jika usul ‘undi tidak percaya’ yang dibawa oleh Tun ini diizinkan dan menang, ruang dan peluang yang ada kepada Tan Sri Muhyiddin adalah membuktikan sokongan ke atasnya dan menterjemah legitimasi bahawa beliau benar mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Sekiranya gagal, maka kerajaan ada dua pilihan. Pertama, Ketua Kerajaan dan seluruh kabinet meletakkan jawatan, bermaknanya kerajaan jatuh. Kedua, DYMM Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Dewan supaya sebuah pilihan raya baharu boleh diadakan.

Namun yang masih menjadi buntu dan tidak terjadi sehingga kini, adakah boleh sekiranya seseorang lain dikalangan ahli parlimen mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan diangkat menjadi Perdana Menteri baru dan mengelakkan daripada parlimen dibubarkan? Kemungkinan tetap ada cuma masih belum pasti.

Sumber :