Vaksin Covid-19 tidak perlu halal

Vaksin Covid-19 tidak perlu halal

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin Covid-19 tidak perlu halal untuk digunakan di Malaysia, susulan kebimbangan beberapa pihak berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau dipetik The Straits Times sebagai berkata, ia “lebih baik” jika pengeluar vaksin boleh mendapatkan pensijilan halal.

“Tetapi, kita tidak mendaftar ubat berdasarkan status halal atau tidak. Kita turut mendaftar ubat tidak halal,” katanya kepada akhbar Singapura itu.

Minggu lalu, kerajaan Kelantan menggesa kajian dijalankan untuk memastikan vaksin Covid-19 patuh syariah.

Timbalan Menteri Besarnya, Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, kajian itu penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat, khasnya umat Islam untuk menerima vaksin sebagai rawatan pencegahan Covid-19.

Bulan lalu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berharap vaksin Covid-19 adalah halal untuk menjamin ketenangan jiwa dalam kalangan umat Islam.

Katanya, usaha menyelamatkan nyawa perkara terpenting dituntut agama Islam menerusi konsep Maqasid Syariah, pihak berkuasa perlu memastikan vaksin itu bebas daripada unsur haram di sisi agama Islam.

Pada 7 Nov lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan Malaysia dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin dari China.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam yang meragui status halalnya kerana vaksin itu dihasilkan di China.

Khairy memberi jaminan vaksin yang bakal diperkenalkan tahun depan akan dipersetujui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/09/vaksin-covid-19-tak-perlu-halal-kata-hisham-dipetik-laporan/