Kenyataan bahawa kerajaan PN telah diterima oleh MAJORITI rakyat dibuat hasil pemerhatian Timbalan Menteri Belia & Sukan (TMBS) berdasarkan pemantauan media sosial oleh beliau. Ia juga hasil libat urus peribadi beliau dengan penjawat awam dan orang luar bandar.

Kalau keputusan pemantauan beliau adalah melalui medium media sosial, maka; adakah penerimaan rakyat terhadap diri TMBS itu sendiri positif berdasarkan respon netizen di media sosial beliau khususnya FB? Rasanya ramai juga yang rajin meninjau dan membaca komentar netizen di ruang komen saluran media sosial beliau.

Pelantikan beliau adalah sangat hampir dengan PKP fasa 1 dan PKPB masih berjalan, dan tinjauan luar bandar telah pun dirumuskan dalam suasana kawalan pergerakan? Siapa yang dijumpai? Sebesar mana sampel yang diuji? Bimbang pula apabila pembuat dasar Kementerian punyai kaedah metodologi kajian dan rumusan serendah ini.

Keputusan sokongan rakyat yang dibuat oleh TMBS telah pun beliau rumuskan tetapi yang agak janggal, TMBS seakan minta kajian itu dibuat semula atau disahkan oleh badan survei seperti Merdeka Centre? Falsafah kajian apa yang digunakan? Rumusan dibuat dahulu kemudian baru kajian menyusul?

Sungguhpun rumusan yang dibuat TMBS itu telah diingatkan hanya sekadar anekdot bukan saintifik, dengan yakin jua dia mengesahkan jumlah ahli dewan rakyat yang bersama koalisi PN berjumlah 116. Namun, kenyataan itu agak samar kembali apabila jumlah itu seakan dikaitkan bersekali dengan tambahan sokongan pembangkang khususnya pada usul belanjawan tahunan ‘nanti’.

Agak pelik jua kerana PN belum lagi membentang apa-apa belanjawan negara dan sekiranya itu bakal dilakukan, terdapat satu sidang parlimen perlu dijalankan sebelum sidang ketiga tahunan parlimen. Secara amalan, belanjawan dibentang pada sidang ketiga tahunan Parlimen. Bagaimana jumlah sokongan itu dengan eksplisit dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan Belanjawan?

Ingatan saya dahulu masih boleh digunapakai. Keghairahan untuk menonjol diri di media bagi menarik perhatian Presiden parti dan Perdana Menteri ke-8 perlu dibuat dengan cerdik. Bukan sekadar semberono. Kerana diamnya saudara terlihat cerdik berbanding bersuara. Contohi Menteri Belia & Sukan yang kekal tidak ‘gila perhatian media’.