Hubungan Kementerian Sukan dan Norza Zakaria kembali jernih

Oleh GEMILANGDAILY

Hubungan Kementerian Sukan dan Norza Zakaria kembali jernih. Semuanya sudah kembali jernih, itu penjelasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apabila pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah bekerjasama erat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menurutnya, kepimpinan baharu KBS dan MOM mempunyai objektif yang sama iaitu memperjuangkan nasib atlet kebangsaan di samping memacu kecemerlangan sukan negara terutama menghadapi jadual padat pada 2023.

Sebelum ini, timbalannya, Adam Adli Abd Halim membuat kenyataan kurang disenangi dan mengguris perasaan beberapa persatuan kebangsaan biarpun tujuan asalnya adalah untuk membasmi penyelewengan dan rasuah dalam industri sukan.

“Saya meluahkan hasrat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan saya juga mendengar ucapan Tan Sri (Norza Zakaria) sebenarnya apa yang kita mahukan adalah sama,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali 203 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Ujarnya, MOM dan KBS memperjuangkan isu sama dan buat masa sekarang adalah lebih baik mereka saling bekerjasama dengan erat membangunkan sukan negara.

Hubungan Kementerian Sukan dan Norza Zakaria kembali jernih

Bagaimanapun Adam tidak dapat menghadiri mesyuarat hari ini kerana terpaksa menjadi wakil KBS bagi menyertai misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.

Dalam masa yang sama, Hannah menjelaskan bajet untuk sukan negara tahun hadapan hanya akan diketahui selepas parlimen selesai membentangkannya di dewan rakyat.

Pentadbiran kerajaan sebelum ini pada Oktober lalu membentangkan belanjawan sebanyak RM 322 juta untuk industri sukan negara pada tahun hadapan.

“Saya tak boleh katakan semua akan dikekalkan kerana bajet itu masih di peringkat parlimen belum diluluskan.

“Jadi mungkin akan ada peningkatan, ataupun mungkin juga pengurangan tetapi secara keseluruhan kita hendak pastikan bajet itu tidak akan banyak terjejas kerana kita tidak mahu mengganggu persiapan atlet menghadapi kejohanan yang akan datang,” jelas Hannah.

BACA:

“Tahniah Neelofa, Bilal dapat adik lagi” – orang ramai mula ucap tahniah

‘Over’ tunjuk kemesraan suami isteri, orang ramai meluat tengok Dai Syed dan Hana

Netizen kata Janna Nick ‘try hard’ nak tiru gaya Kak Lina mengacara