Pemimpin tarekat Tarekat al-Naqsyabandiah ditangkap bersembunyi di Gombak

Oleh GEMILANGDAILY

Pemimpin tarekat Tarekat al-Naqsyabandiah ditangkap bersembunyi di Gombak. Menyewa rumah di kawasan kampung yang tersembunyi sejak seminggu lalu dan tidak bergaul dengan jiran selain jarang membuka tingkap dan pintu rumah.

Itu dilakukan pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus, 59, bagi mengelak dirinya dikesan pihak berkuasa sebaik pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, selepas empat bulan menghilangkan diri, akhirnya beliau yang bersembunyi di sebuah rumah sewa di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak, ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman, malam tadi.

Menurut sumber, pemimpin tarekat terbabit yang bekerja sebagai penjual tempe itu ditahan 10 malam tadi di dalam rumah sewanya yang terletak agak terpencil di kawasan kampung.

Dia yang berbaju Melayu dan berkain pelikat kelihatan tenang ketika ditahan, sementara di rak almari di dalam rumahnya dipenuhi buku berunsur keagamaan.

Pemimpin tarekat Tarekat al-Naqsyabandiah ditangkap bersembunyi di Gombak

Sumber berkata, dia bersama 237 pengikutnya pada 16 Mac lalu berlepas ke Madinah untuk menunaikan umrah sekali gus menetap di Makkah dan kononnya Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

“Mereka percaya kemunculan Imam Mahdi menandakan dunia sudah berada di akhir zaman

“Bagaimanapun, pada 17 Ogos lalu, Habib Shah Firdaus pulang ke Malaysia selepas diusir pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Menurut sumber, kepulangan beliau juga tidak dimaklumkan kepada pihak Konsulat Malaysia di Jeddah menyebabkan polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk, Efendi Sumardy, 72, berkata, lelaki terbabit adalah individu ketiga yang menyewa rumah itu, namun lelaki itu hanya tinggal di situ kira-kira seminggu lalu.

“Kami juga tidak pernah bertemu dengannya kerana dia juga tidak memaklumkan kepada penduduk dia berpindah ke sini.

“Kami hanya melihat ada kereta Mercedes Benz sahaja di luar rumah, manakala mereka tidak kelihatan kerana pintu dan tingkap jarang dibuka,” katanya.

Pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan, sudah ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, sudah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

Harian Metro sebelum ini juga melaporkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu.

Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

BACA:

Elfira Loy bimbang lagu Wednesday boleh sesatkan anak muda

Terkejut Aliff Satar tengok Mufti Menk solat disebelahnya

Jawapan Adi Putra bila ditanya cara nak handsome macam dirinya bikin berdekah